KUALA KANGSAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga ADUN
Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Besar Perak
ke-12.
Pelantikan Pengerusi PPBM Perak berusia 48 tahun itu diperkenan oleh
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah
jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah di sini, hari
ini.
Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, lapor BH Online.
Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir, Raja Iskandar
Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan
Abdul Halim, turut berkenan hadir.
Yang turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Ahmad Faizal mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan
Cator Avenue dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson
di Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Kajian Perniagaan di
Universiti Edith Cowan, Perth, Australia.
Beliau pernah menjadi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah dan
sebelum itu pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Panel
Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan
Multimedia.
Bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan
memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi dalam pertembungan
tiga penjuru.
Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi juga dalam pertembungan tiga penjuru.
Dalam PRU14, PH dipimpin Ahmad Faizal berjaya memenangi 29 kerusi
berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi dan PAS (tiga
kerusi).
PH berjaya membentuk kerajaan negeri Perak menerusi majoriti mudah 31 kerusi selepas dua ADUN BN menyertai pakatan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan