Jumaat, 18 Mei 2018

Kedudukan menteri pelajaran akan dikaji semula, kata Tun Mahathir






Tun Mahathir berkata, pendidikan juga perlukan satu majlis penasihat sebagaimana ekonomi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, kedudukan beliau sebagai Menteri Pelajaran akan dikaji semula selepas menyedari ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan untuk menentukan sama ada beliau akan kekal memegang jawatan Menteri Pelajaran atau tidak terserah kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) berikutan pemilihan itu bercanggah dengan manifesto PH.

“Saya tidak sedar perkara ini bahawa perdana menteri tidak boleh memegang apa-apa portfolio lain dalam kabinet, kecuali kementerian kewangan, sehinggalah saya diberitahu tentang manifesto.

“Oleh itu, kita akan bincangkan balik perkara ini,” kata Dr Mahathir dalam dialog dengan pengamal media Pakatan Harapan di Yayasan Al Bukhary hari ini, lapor Malaysia Decides.

Menurut Mahathir, pendidikan amat dekat dengan dirinya dan bercadang untuk memberikan sumbangan dalam bidang ini memandang terlalu banyak kerja perlu dibuat terhadap pendidikan negara.

“Selepas saya umumkan, mereka baru beritahu saya, perdana menteri tidak boleh memegang portfolio lain tetapi timbalan perdana menteri boleh,”katanya.

Menurut Mahathir, beliau sentiasa dikaitkan dengan pendidikan hatta selepas bersara.

“Selepas bersara sebagai PM, saya duduk dalam beberapa jawatankuasa dan banyak pelaksanaan dibuat berdasarkan idea saya,” katanya.

Lagipun, katanya, terlalu banyak kerja yang perlu dibuat dalam pendidikan, dan banyak perkara perlu dikaji balik dalam bidang ini.

Beliau juga mempunyai beberapa idea untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia khasnya pengajaran Bahasa Inggeris.

Pendidikan moral juga perlu dikaji balik kerana ia bermula dengan pendidikan di peringkat rendah lagi.

Namun selepas beliau membuat keputusan untuk ambil portfolio itu, beliau diberitahu, perdana menteri tidak boleh memegang apa-apa portfolio dalam kerajaan berdasarkan manifesto PH.

“Tetapi timbalan perdana menteri boleh, dia boleh pegang,” katanya.

Sebagaimana ekonomi, katanya, pendidikan juga boleh membentuk lembaga penasihatnya tersendiri sebagaimana Majlis Penasihat Negara dibentuk untuk ekonomi.

Tiada ulasan: