Ahad, 13 Mei 2018

Jangan kecil hati tak diberi peruntukan, kata MB Johor

 
Osman tidak mahu memberikan 'peluru' kepada penentang kerajaan Pakatan Harapan.


Osman berkata keputusan untuk tidak memberi peruntukan kecil pembangunan kepada Adun BN untuk melindungi kerajaan PH. (Gambar youtube)


JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menjelaskan keputusan untuk tidak memberi peruntukan kecil pembangunan kepada para Adun Barisan Nasional (BN) untuk melindungi kerajaan Pakatan Harapan.

Bekas ahli Umno itu, yang menyertai PPBM untuk menumbangkan BN di negeri kubu kuat bekas partinya itu semalam berkata, dia tidak mahu memberikan “peluru” kepada penentang kerajaan PH.

“Jangan kecil hati. Dulu BN buat dekat kita. Kenapa kita tak boleh buat pula?” katanya kepada FMT, mengingatkan BN mengamalkan dasar itu terhadap penentang mereka.

Semalam, Osman pada sidang media pertama selepas dilantik menteri besar Johor yang baru mengumumkan Adun BN Johor tidak akan menerima peruntukan kecil pembangunan daripada pentadbirannya.

Sebelum itu, 3 Adun BN di Johor membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Harapan demi “perpaduan Melayu” dan kepentingan rakyat di Sedili, Johor Lama dan Endau. Penyertaan mereka mengukuhkan kekuatan PH kepada 39 kerusi DUN berbanding BN 16 dan PAS 1.

“Kenapa nak beri peruntukan? Macam kita beri peluru untuk mereka serang kita,” kata Osman semalam.

Osman, 67, menafikan pentadbirannya didorong dendam dan berkata keutamaan ialah merealisasikan manifesto pilihan raya PH, termasuk menilai semula projek-projek yang dijalankan di negerinya.

“Kalau tidak mendatangkan manfaat, kita perlu hentikan. Kalau bagus dan tidak beri kesan kewangan teruk, kita teruskan,” katanya.

Tiada ulasan: