Rabu, 16 Mei 2018

Dr M arah henti kutip GST

 
Perdana menteri bagaimanapun tidak memaklumkan jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali dilaksanakan dan GST dimansuhkan serta-merta.





PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan semua pihak menghentikan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan segera.

“Kita telah bincang bagaimana kita nak tamatkan GST, arahan telah diberi supaya kita tidak kutip GST lagi,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali dilaksanakan dan GST dimansuhkan serta-merta.

Pemansuhan GST perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membuat pembayaran balik kepada peniaga susulan tindakan kerajaan terdahulu membuat kutipan secara berlebihan.

“Kerajaan cuba bayar balik kepada mereka yang telah membuat tuntutan kerana pihak kerajaan (terdahulu) telah memungut lebih daripada yang perlu dibayar untuk cukai GST.”

Semalam, bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, kerajaan akan mengumumkan kaedah memansuhkan GST dalam tempoh 100 hari.

“Kami akan umum bagaimana kami akan melaksanakannya, sama ada sifarkannya atau dalam apa jua proses ia akan dilaksanakan.

“Kami akan mengumumkan strateginya dan jika ia memerlukan sebarang proses, ia akan mengambil masa.”

Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan GST pada 1 April 2015.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mengutip hasil GST sebanyak RM27.1 bilion pada 2015 dan jumlah itu meningkat kepada RM41.2 bilion pada 2016.

Tahun lalu, Kastam mengutip RM44.03 bilion menerusi GST, iaitu 75% daripada kutipan keseluruhan negara.

Tiada ulasan: