Khamis, 17 Mei 2018

Armin setuju cerai Ziana tapi bersyarat

Wartawan MalaysiaGazette

Hakim memerintahkan sebuah jawatankuasa pendamai dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga Ziana dan Armin dengan kehadiran pegawai perunding dilantik mahkamah.
Hakim memerintahkan sebuah jawatankuasa pendamai dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga Ziana dan Armin dengan kehadiran pegawai perunding dilantik mahkamah.


SHAH ALAM – Suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri bersetuju untuk bercerai secara baik dengan isterinya namun memberi syarat agar beliau dibenarkan untuk bertemu anak-anak mereka.

Armin, 53, memberitahu, sejak Mac lalu beliau tidak dapat bertemu empat anaknya dan berharap mahkamah mempertimbangkan faktor itu.

“Saya bersetuju untuk bercerai dengan baik tetapi dengan syarat saya dibenarkan untuk bertemu anak-anak saya.

“Sejak Mac lalu, saya langsung tidak dapat bertemu mereka dan berharap perkara itu dapat diambil kira oleh mahkamah,” katanya memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Armin berkata demikian di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nizar Mokhtar yang mendengar kes itu.

Sementara itu itu, menjawab dakwaan Armin, Ziana selaku plantif memberitahu mahkamah, suaminya itu dihalang berjumpa dengan anak-anak atas arahan pihak polis dan peguamnya.

Ini kerana kata Ziana, 50, anak-anaknya adalah saksi berhubung kes jenayah melibatkan Armin atas dakwaan mencederakan salah seorang anak mereka dan prosiding kes itu masih berlangsung di Mahkamah Majistret di sini.

Sementara itu, Mohd Nizar memerintahkan sebuah jawatankuasa pendamai dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan itu dengan kehadiran pegawai perunding dilantik mahkamah.

Ziana melantik adiknya penyanyi Anuar Zain sebagai wakil pihaknya manakala Armin selaku defendan melantik sahabatnya, Azizi Yaakob bagi sesi itu nanti.

Kes berkenaan akan disebut semula pada 28 Jun depan.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: