Khamis, 31 Mei 2018

Ahli Majlis Penasihat Pertanian diumum pada Isnin - Salahuddin Ayub

Zaim Ibrahim, Astro Awani
Ahli Majlis Penasihat Pertanian diumum pada Isnin - Salahuddin Ayub
Menurut Salahuddin, Skim Pelaksanaan Harga akan dilaksanakan bagi mengawal 22 jenis barangan sempena musim perayaan 2018. - Gambar fail


PUTRAJAYA: Majlis Penasihat Pertanian mendapat persetujuan daripada barisan kabinet untuk ditubuhkan, namun nama-nama ahli majlis dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu akan diumumkan pada Isnin.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata beberapa nama akan dikemukan olehnya dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ismail Bakar.

"Mereka terdiri dari 10 ahli yang terdiri dalam kalangan pakar bidang pertanian dan nama mereka akan diumumkan Isnin depan,” kata Salahuddin ketika ditemui di sini hari ini.


Majlis itu berfungsi untuk menjana idea dan meningkatkan produktiviti industri pertanian dalam negara.

Memetik laporan Bernama, majlis itu juga mampu menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian itu.

Bercakap mengenai isu kenaikan harga barang dan mengesahkan satu mesyuarat bakal diadakan antara Ketua Setiausaha MOA dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Skim Pelaksanaan Harga musim perayaan 2018 akan dilaksanakan selepas mesyuarat antara kedua-dua kementerian dan terdapat 22 barang yang akan dikawal,” kata Salahuddin.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan 22 jenis barangan tersebut kerana masih sulit tetapi akan memaklumkan selepas tamat mesyuarat kelak.

Dalam pada itu, Salahuddin mengesahkan kementeriannya akan meneruskan pemberian Elaun Sara Hidup kepada lebih 10,000 nelayan seluruh negara.

Elaun yang diberikan adalah berjumlah antara RM250 hingga RM300 mengikut kategori zon nelayan.

Tiada ulasan: