Isnin, 28 Mei 2018

9 Adun BN sedia menghadap Raja Perlis

 
 
Adun Santan, Azizan Sulaiman berkata, semua Adun berkenaan sedia sembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menjernihkan keadaan.
 
 
Menurut salah seorang Adun, pihak istana memaklumkan Tuanku bersetuju menerima sembah menghadap semua Adun terlibat. (Gambar Bernama)


KANGAR: Situasi melibatkan 9 Adun Barisan Nasional (BN) yang terpalit isu selepas tidak hadir Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, 24 Mei lepas tidak seteruk yang digambarkan media.

Adun Santan, Azizan Sulaiman berkata, semua Adun berkenaan sedia sembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menjernihkan keadaan dan menjelaskan kepada baginda tentang sebab insiden tidak diingini itu berlaku.

“Pihak istana memaklumkan Tuanku bersetuju menerima sembah menghadap semua Adun terlibat dan kini kami hanya menunggu tarikh (menghadap) sesuai yang akan ditetapkan oleh baginda.

“Kami semua tiada niat langsung untuk menderhaka, tetapi menjunjung titah Tuanku dan kami berharap perkara ini dapat dijelaskan kepada baginda sekaligus menyelesaikan kemelut ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya yang juga timbalan ketua Umno Padang Besar, pihaknya akan segera memaklumkan kepada umum setelah selesai sembah menghadap Tuanku Raja Perlis kerana rakyat juga perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Azizan juga memaklumkan semua Adun BN berkenaan berada di Perlis dan menjalankan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat.

Media sebelum ini melaporkan semua 9 Adun berkenaan enggan hadir ke majlis pelantikan menteri besar Perlis kerana membantah pelantikan Adun Bintong Datuk Seri Azlan Man memegang jawatan berkenaan.

Pada hari terbabit, Adun berkenaan bersama pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim berada di Kuala Lumpur dan mengadakan sidang akhbar mencadangkan supaya Azlan dipecat dalam parti.

Tiada ulasan: