Khamis, 8 September 2016

Zika jadi alasan desak caj jalan ke atas kereta Singapura

MALAYSIAKINI


ADUN Kempas Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat mengaitkan virus Zika dalam cubaannya untuk mendesak kerajaan melaksanakan "caj jalan" bagi kenderaan yang berdaftar di Singapura yang memasuki negara ini.

Katanya, kerajaan negara ini berbesar hati memberi keizinan kepada pemilik-pemilik kenderaan berpendaftaran Singapura untuk menggunakan prasarana di Malaysia secara percuma dan tanpa sebarang sekatan.

Sedangkan, menurut pemimpin Umno Johor itu, rakyat negara ini yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan memandu kereta berpendaftaran Malaysia di republik itu dan sekiranya ditahan, mereka boleh dikenakan denda yang berat.


“Mereka bantu membangunkan negeri itu, membayar pelbagai jenis cukai kepada kerajaan Singapura, dan kini membawa risiko tinggi bagi rakyat tempatan dengan berulang alik setiap hari ke negeri itu yang sudah ada kuman berjangkit Zika

“Di masa yang sama, mereka tidak membayar apa-apa cukai yang boleh membantu negara untuk menaikan dana kita. Dari sudut manapun nampaknya kita yang rugi," kata Tengku Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan melaksanakan caj jalan ke atas kenderaan yang berdaftar di Singapura pada kadar segera.

Tambahan hasil RM6 juta setahun

Menurutnya, walaupun caj jalan itu sudah melalui tempoh percubaan dari 1 Jun hingga 15 Julai lalu dengan 120,000 kenderaan Singapura berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun pelaksanaanya masih belum ditetapkan.

Tengku Putra berkata isu ini bukaran perkara baru dan beliau sendiri pada tahun 2002 telah mencadangkannya supaya kerajaan mengenakan levi RM10 kepada setiap kenderaan yang berdaftar di Singapura memasuki Malaysia.

Jika levi RM10 dikenakan sejak itu, beliau berkata kerajaan Malaysia sudah mengumpulkan kira-kira RM2 bilion, dan sebahagian wang itu boleh digunakan untuk memperbaiki infrastruktur di Johor.

“Adalah tidak adil bagi rakyat Malaysia untuk membiayai kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan untuk keselesaan warga asing di bumi Johor dan Malaysia.

“Caj jalan ini bukan ditujukan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang memandu kenderaan bependaftaran Singapura sahaja tetapi juga kepada rakyat Singapura yang datang ke Malaysia dan menggunakan infrastruktur serta kemudahan kita," katanya.

Tengku Putra juga mencadangkan bahawa kad caj jalan itu diperbaharui setiap tahun dengan bayaran RM50 setiap tahun dan ini akan mendatangkan hasil tambahan RM6 juta setahun kepada kerajaan.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan rakyat Singapura menggunakan rakyat Malaysia yang bekerja di sana sebagai helah untuk dikecualikan dari membayar caj jalan dan di waktu yang sama membolehkan mereka mengeksploitasi layanan baik kita secara percuma.

“Kita perlu belajar untuk membuat kajian, memilih pihak yang mahir, layak dan mampu, baru mengumumkan keputusan apabila kita bersedia untuk melaksanakannya dalam masa yang ditetapkan.


“Terlalu kerap kita berbunyi seperti tin kosong. Bunyinya kuat tetapi tiada berisi. Dan apabila kementerian gagal untuk melaksanakan sesuatu dengan sempurna, ia akan membawa kesan kepada kerajaan yang selama ini penuh bertanggungjawab,” katanya.



Tiada ulasan: