Selasa, 6 September 2016

Timbalan Harussani: Saya tak rujuk Tugu Negara

MALAYSIAKINI


Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim menjelaskan kenyataannya berkaitan larangan pembinaan replika haiwan tidak merujuk kepada Tugu Negara atau replika helang ikonik di Pulau Langkawi.

Katanya, beliau hanya merujuk isu setempat di Perak, terhadap soalan yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak, lapor Sinar Online.

“Sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk memberi nasihat dan panduan maka, satu panduan dan nasihat diperlukan oleh sebuah kerajaan tempatan diajukan kepada kami untuk membina sebuah replika di penempatan baharu.

“Isunya adalah isu setempat di Perak dan tidak berkaitan dengan replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun tugu negara tetapi isu ini digunakan oleh media-media yang memutarbelitkan dan mengalihkan dari isu sebenar," beliau dipetik sebagai berkata.

Zamri berkata, tidak timbul isu merobohkan monumen-monumen berkenaan berikutan ia bawah kuasa pihak di negeri masing-masing.

Katanya, pihaknya menasihatkan pihak berkuasa tempatan tidak membina replika haiwan secara sempurna kecuali untuk permainan kanak-kanak atau tujuan pendidikan.

Malaysiakini pada 2 September memetik tulisan Zamri di sisipan Berita Harian bahawa memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Katanya, membinanya adalah dosa besar dan jika sudah dibina wajib dirobohkan.

Patung burung helang paling terkenal di Dataran Lang, Langkawi yang mempunyai kaitan dengan sejarah pulau pelancongan dunia itu.

Timbalan Mufti Kedah Sheikh Marwazi Dziyauddin pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu jika terdapat gesaan supaya tugu di Langkawi dirobohkan.

Marwazi berkata, ketika pembinaan tugu tersebut tidak merujuk kepada pihak berkuasa agama.

Di tengah-tengah kekecohan isu itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan suntikan dana RM650 juta untuk projek di atas kawasan seluas 66 ekar di sekitar Tugu Negara.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula bertegas menolak Tugu Negara.

“Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara) kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu?

“Tugu berbentuk manusia pula adalah haram," katanya.

Tiada ulasan: