Khamis, 15 September 2016

SSK, TOKOH PELAWAK NEGARA!!

shahbudindotcom


Sejak adanya Salleh Said Keruak dalam kabinet kerajaan lebih setahun yang lalu, ramai antara kita sebenarnya tidak memerlukan lagi Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Sepahtu dan lain-lain pelawak untuk menghiburkan hati.

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan Salleh sudah cukup terasa menggelikan hati, malah kadang-kadang mampu membuatkan kita ketawa atau senyum selama berhari-hari.

Kenyataan terbaru beliau berkaitan WSJ berikutan pendedahannya berhubung perbelanjaan mewah Rosmah Mansor sebanyak RM24 juta antara tahun 2008 hingga 2015 untuk pembelian pakaian, kasut dan barang-barang kemas, amat-amatlah  menggelikan hati.
 
 
 
 
Salleh menyarankan WSJ yang berpangkalan di Amerika Syarikat agar meletakkan calon dalam pilihanraya umum datang kerana mendakwa akhbar tersebut mempunyai minat dan kecenderungan mendalam terhadap hal ehwal politik Malaysia.

Mereka berkelakuan seperti ahli politik dan berkempen, bukannya sebagai media yang boleh dipercayai dan bebas, tambahnya lagi.

Kenyataan Salleh kali ini bukan saja membuat manusia terasa geli hati dan ketawa, bahkan haiwan di hutan dan ikan-ikan di lautan boleh jadi sama-sama terdampar kegelian.

Mana tidaknya, dalam usaha untuk mempertahan, membela dan membodek Najib, Salleh nampaknya sanggup sehingga berkata apa saja.

Kerapkali kata-katanya tidak menggambarkan kedudukannya sebagai menteri, tapi cuma bercakap untuk menampakkan seolah-olah beliau dilihat bekerja oleh Najib.

Sebab mengapa pendedahan demi pendedahan oleh media antarabangsa, khususnya WSJ lebih tertumpu kepada Malaysia dan tidak negara-negara lain adalah kerana salah Najib juga. Ia bukan salah sesiapa.

Jika Najib dapat mengawal isterinya sepertimana Tun Razak membatasi Tun Rahah atau seperti Tun Mahathir mengawal Tun Siti Hasmah, tidak berkawan dengan Jho Low, tidak menubuhkan 1MDB dan tidak menerima wang ribu-ribu juta melalui akaun peribadinya, barangkali tumpuan terhadap Malaysia hanyalah biasa-biasa saja.

Apa yang didedahkan oleh WSJ ialah kerana wujud kesalahan yang dilakukannya. Dalam kes pembayaran menggunakan kad kredit Najib sebanyak RM24 juta misalnya, maklumat berkenaan tentu saja dalam pengetahuan syarikat kewangan tertentu dan tidaklah mustahil WSJ turut dikongsi maklumat itu.

Apa yang perlu Salleh lakukan ialah menjawab dan membuat penafian berfakta, atau menggesa Najib menyaman jika ia fitnah dan bukannya dengan melencongkan hujah dengan meminta WSJ bertanding dalam pilihanraya.

Itu kelakar namanya bahhh....

Dengan meminta WSJ bertanding dalam pilihanraya, ia samalah seperti meminta Utusan atau TV3 turut bertanding meletakkan calon di Selangor, Pulau Pinang atau Kelantan.

Maka, selayaknya Salleh dianugerahkan Tokoh Pelawak Negara dalam UMNO - dulu, kini dan selamanya.


Tiada ulasan: