Ahad, 4 September 2016

Siber: Malaysia di kedudukan ke-25 dalam penyebaran perisian hasad

ASTRO AWANI


Siber: Malaysia di kedudukan ke-25 dalam penyebaran perisian hasad
Sektor kewangan mungkin menjadi sasaran utama serangan siber yang dilakukan kumpulan penjenayah asing. - Gambar hiasan
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan ke-25 dunia dalam penyebaran perisian hasad, iaitu perisian bertujuan merosakkan atau melumpuhkan komputer dan sistem komputer pengguna web, menurut laporan terkini Kaspersky Lab.

Pengarah keselamatan perisian antarabangsa kumpulan APAC Global Research and Analysis Team, Vitaly Kamluk berkata daripada 283,799 laman web diserang perisian berniat jahat yang dikesan di seluruh dunia antara Jun dan Ogos tahun ini, 0.21 peratus adalah dari Malaysia.   

"Amerika Syarikat kekal mencatat jumlah tertinggi laman web diserang perisian berniat jahat dengan 32.02 peratus, diikuti Rusia (11.09), Jerman (10.18), United Kingdom (6.60) dan Belanda 6.44 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk terbaru kumpulan itu, 'The Kaspersky Anti Targeted Attack Platform and Kaspersky Intelligence Security Services' di sini pada Khamis.

Beliau berkata hasil penyelidikan mendapati serangan siber itu disebabkan oleh komputer hos yang seterusnya akan melumpuhkan sistem komputer.

Beliau juga menggesa syarikat-syarikat dan organisasi tempatan agar lebih berhati-hati kerana dijangkakan terdapat peningkatan terhadap insiden serangan siber terutama di rantau ini, ekoran individu-individu terbabit lebih matang dalam melakukan serangan siber seumpama itu.
 
"Kami menjangkakan sektor kewangan mungkin menjadi sasaran utama serangan siber yang dilakukan kumpulan penjenayah asing, dan pengembangan insiden sabotaj siber oleh entiti yang berniat jahat," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: