Isnin, 19 September 2016

Selangor belanja RM1.1 bilion biayai subsidi air

HARAKAHDAILY 


 


KUALA LUMPUR: Selangor membelanjakan RM1.1 bilion bagi membiayai subsidi bil air sejak 2008, kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau berkata, secara puratanya sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi program pemberian air percuma setiap tahun, lapor SelangorKini.

“Berdasarkan kepada penggunaan air secara bulanan, pengguna di Kuala Lumpur dan Putrajaya berbelanja sekitar RM25.04 setiap bulan.

“Di Selangor pula, purata bil bulanan hanya serendah RM13.30 memandangkan 20 meter padu pertama disubsidi Kerajaan Negeri,” katanya di Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), di sini, hari ini.

Sesi pendengaran dipengerusikan Yeo Bee Yin dan turut dihadiri Ahli Jawatankuasa (AJK) lain iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, Shafie Ngah (Bangi) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang).

Selain Suhaimi, sesi berhubung Penstrukturan Industri Air Dan Kesan Terhadap Negeri Selangor itu turut memanggil wakil dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Suhaimi berkata, tarif air juga kekal sejak 2006 tanpa sebarang perubahan, sehingga kini.

“Jika di bawah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), tarif sepatutnya dinaikkan sehingga 105.7 peratus, selepas sepuluh tahun,” katanya.


Tiada ulasan: