Ahad, 4 September 2016

Ringgit dijangka terus jatuh berbanding dolar minggu depan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pasaran wang globalPasaran wang global


Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan dipengaruhi faktor seperti kelemahan sentimen pengguna, penyusutan harga minyak mentah serta unjuran kemungkinan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedahnya.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata kalangan peniaga terus bersikap berhati-hati mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah itu pada tahun ini jika pertumbuhan gaji bukan sektor perladangan adalah di bawah jangkaan pasaran.

“Unjuran pihak Fed akan menaikkan kadar faedah itu mencetuskan sentimen global serta kebimbangan berterusan mengenai ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dipetik BERNAMA.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga, berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mencecah paras terendah dalam masa tiga minggu pada AS$44.60.

Ia berikutan kebimbangan berterusan mengenai lambakan bekalan minyak di pasaran global yang terus melenyapkan minat pelabur terhadap komoditi berkenaan.

“Jelas sekali para pelabur sudah maklum dengan realiti lambakan minyak serta tidak lagi optimis dengan keputusan mesyuarat tidak rasmi Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) pada September untuk membekukan pengeluaran,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, unit tempatan itu susut berbanding dolar US kepada 4.0830/0900 daripada 4.0130/0200. Malah, berbanding mata wang lain, ringgit ditutup rendah kecuali yen.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0018/0080 daripada 2.9669/9729 pada Jumaat lepas namun meningkat berbanding yen kepada 3.9411/9498 daripada 3.9942/1024 dan turun berbanding euro kepada 4.5640/5734 daripada 4.5299/5414, sebelum ini.

Ia lemah berbanding pound Britain kepada 5.4161/3262 daripada 5.2956/3056 pada Jumaat lepas.

Tiada ulasan: