KOTA KINABALU: Satu panggilan telefon diterima berhubung kes penculikan
3 anak kapal nelayan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan mengulas butiran panggilan telefon itu.
“Memang ada panggilan telefon. Tetapi biarlah kita (polis) menyiasat
dahulu kesahihan panggilan tersebut, sama ada ia betul-betul daripada
penculik atau orang yang mahu mengambil kesempatan,” katanya ketika
ditemui pemberita selepas sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah di
sini, hari ini.
Abdul Rashid berkata beliau difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu.
Tiga anak kapal nelayan itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami,
30-an, dan Masurin, 50-an masing-masing warga Filipina tetapi memiliki
dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.
Mereka diculik 7 lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan
bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40
malam pada 10 Sept lepas.
Abdul Rashid turut kesal kerana kebanyakan bot nelayan di perairan
Sabah khususnya di pantai timur negeri ini tidak memasang sistem
komunikasi Sistem Pengesanan Automatik (AIS) untuk membolehkan mereka
berhubung dengan pihakvberkuasa.
“Seperti insiden (culik) baru-baru ini, bot dia tidak ada sistem perhubungan seperti AIS.
“…kita minta nelayan supaya pasangkannya (AIS) dan beri kerjasama
kepada pasukan keselamatan dalam menjaga kepentingan dan keselamatan
kita bersama,” katanya.
Beliau berkata polis sedang mengkaji semula pemberian permit kepada
nelayan untuk menjalankan kegiatan perikanan di perairan negara pada
waktu perintah berkurung.
Abdul Rashid menjelaskan kajian semula itu bukan untuk melarang
kegiatan perikanan pada waktu berkenaan tetapi mencari pendekatan sesuai
menjalinkan kerjasama antara nelayan dengan pasukan keselamatan.
Menurutnya pelaksanaan perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur
Sabah (Esszone) masih efektif, tetapi memerlukan kerjasama masyarakat
untuk memastikan keselamatan terjaga.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penculik bersembunyi di kawasan
Esszone, khususnya pulau-pulau berhampiran selatan Filipina.
Sempena sambutan Hari Malaysia, Abdul Rashid berharap rakyat terus
bekerjasama dalam memelihara keselamatan dan keamanan negara ini.
“Kita semua bersusah payah memastikan kedaulatan dan keamanan negara. Jadi, kita jagalah negara kita bersama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan