Rabu, 7 September 2016

Polis pulas tangan guru hingga patah

 
 
Dua anggota polis menahan Sheikh Asroff secara keras dan kasar
Dua anggota polis menahan Sheikh Asroff secara keras dan kasar
Sheikh Asroff mengalami cedera patah tangan kiri
Sheikh Asroff mengalami cedera patah tangan kiri


Tidak ada kompromi, walaupun seseorang itu anggota polis sekalipun, kata Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.

Beliau diminta mengulas berhubung kejadian dua anggota polis dari Balai Polis Lenggong, Gerik, Perak telah mencederakan seorang guru dalam operasi membanteras dadah di kawasan itu petang kelmarin.

Menurut Abdul Rahim, anggota polis berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu pagi tadi untuk mendapatkan tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan.

"Siasatan ini dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan beberapa tindakan tertentu telah diambil untuk siasatan," katanya.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, seorang guru, Sheikh Asroff Umar, 30-an telah ditahan secara kasar oleh dua anggota polis dari Cawangan Narkotik Lenggong.

Guru itu, yang baharu keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sapi, Lenggong selepas selesai mengajar kelas tambahan untuk muridnya yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) secara tiba-tiba ditahan polis.

Mangsa yang menyangka dua lelaki itu penjahat kerana memakai topi keledar dan meluru ke arahnya tanpa memperkenalkan diri, cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap.

Dari situ berlaku pergelutan antara dua anggota polis berkenaan dengan Sheikh Asroff, yang kemudian memaklumkan mereka telah tersalah orang.

Polis terbabit cuba memulas dengan kasar kedua-dua tangan guru berkenaan untuk digari, sebelum membawanya ke Balai Polis Lenggong untuk siasatan.

Bagaimanapun, setelah mendapati guru itu bukan penagih dadah seperti yang disyaki, dia dibebaskan dan dibawa guru besar sekolah berkenaan ke hospital untuk rawatan.

Doktor mengesahkan tangan kiri Sheikh Asroff patah dan diberi rawatan lanjut.

Guru berkenaan yang pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tabloid di Kota Bharu pada 2005 sekarang berada dalam keadaan stabil, tetapi masih trauma dengan kejadian yang menimpanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: