Rabu, 7 September 2016

Pendakap Gigi Haram Undang Risiko Kesihatan

MSTAR ONLINE
 
 
- Gambar hiasan
 
 
PUTRAJAYA: Pemasangan pendakap gigi secara haram boleh mengundang risiko kesihatan termasuk dijangkiti virus HIV dan Hepatitis jika pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pendakap gigi merupakan rawatan untuk membetulkan susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna namun sesetengah masyarakat terutama golongan remaja melihatnya sebagai simbol kemewahan, status dan fesyen.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan berikutan permintaan terhadap pendakap gigi yang tinggi dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan melalui dalam talian yang cepat, mudah dan caj yang sangat rendah sedangkan mereka tidak berkelayakan.

"Ini berjaya menarik ramai pelanggan (pesakit) sekaligus mengaburi mereka risiko yang bakal dihadapi dari aspek keselamatan dan komplikasi rawatan.

"Antara kesan dan komplikasi daripada rawatan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram adalah pergerakan gigi yang tanpa kawalan, kehilangan gigi serta gusi bengkak dan bernanah. Malah, risiko untuk dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi apabila pembersihan dan pembasian kuman tidak dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius dan berasa kesal kerana masih ramai yang memandang ringan tentang kesan pemasangan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram.

Beliau berkata modus operandi aktiviti haram itu adalah berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain dan juga dari satu negeri ke negeri yang lain.

"Lokasi yang menjadi pilihan mereka termasuk hotel, rumah persinggahan, pusat kecantikan atau spa dan rumah-rumah kediaman.

"Ia dijalankan semata-mata untuk mengaut keuntungan sehingga pelbagai janji manis ditaburkan tanpa memberitahu sepenuhnya kesan dan akibat yang bakal berlaku," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan pergigian di premis tidak berdaftar adalah salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, katanya, sembilan kes telah dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen itu dan satu daripadanya telah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan pendakap gigi yang diberikan oleh pengamal pergigian haram yang tidak berkelayakan, tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa juga rawatan pergigian.

Orang awam boleh membuat aduan terus ke Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-883 4215 atau e-mel kepada ohd@moh.gov.my supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan kesihatan awam, katanya.

Semalam, seorang gadis 21 tahun didenda M25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menyediakan perkhidmatan memasang pendakap gigi secara haram di sebuah hotel.
 
 

Tiada ulasan: