Jumaat, 16 September 2016

Pemimpin pembangkang turut 'rasai' kehilangan Haron Din

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din turut dirasai bekas pemimpinnya yang kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
 
Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan pemergian pemimpin kanan PAS itu sebagai satu kehilangan dakwah Islamiah, meskipun mereka kini berbeza arah tujuan perjuangan.
 
"Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak berjasa kepada masyarakat khususnya dalam aspek dakwah dan bidang perubatan alternatif.
 
"Walaupun berbeza dari sudut pendekatan dan parti politik sekarang ini, saya percaya seluruh ahli Amanah juga, atas nilai karamah insaniah dan persaudaraan Islam, turut merasai kehilangan Allahyarham.
 
"Apatah lagi, ramai di antara kami pernah bersama lama dalam satu wadah sebelum ini," demikian memetik kenyataan medianya.
 
Mohamad, atau dikenali sebagai Mat Sabu merupakan bekas Timbalan Presiden PAS sebelum menyertai Amanah pada tahun lalu.
 
Langkah Mat Sabu diikuti rapat oleh beberapa pemimpin kanan PAS yang lain, termasuk Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Mujahid Yusof Rawa dan Hanipa Maidin selepas golongan tersebut kalah dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS 2015, akibat penentangan  kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
 
 
 
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongsi kesedihan kehilangan Haron di laman sosial Facebooknya.
 
Beliau turut berkata bertemu Haron buat kali terakhir pada 9 September lalu, sehari sebelum pemimpin berkenaan berlepas ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan jantungnya.
 
"Umat Islam kehilangan seorang ulama yang banyak menyumbang kepada pemikiran dan pembangunan ummah serta membentuk jatidiri Muslim yang sejati.
 
"Saya sempat bersama Almarhum Ustaz Haron Din pada 9 September, sehari sebelum beliau berlepas ke US dalam majlis sumbangan dana untuk Masjid Al Umm, Bangi.
 
"Semoga beliau dianugerahkan husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di syurga yang penuh ni'mat Allah. Al Fatihah," kata Azmin.
 
Haron meninggal dunia pada jam 10.10 pagi tadi di Hospital Stanford University, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
 
Beliau terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan selepas koma dan mengalami pendarahan teruk.
 
Haron sebelum ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat pada 2 April 2012. 
 
Pada Mac lalu, beliau menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara.
 
Pemergian Haron Din disifatkan sebagai kehilangan besar buat PAS.
 
 

Tiada ulasan: