Ahad, 4 September 2016

Paul Low diingatkan janji bebaskan SPRM

MALAYSIAKINI


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low diingatkan mengenai janjinya tahun lalu untuk membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Low, semasa Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya September lalu juga berkata terdapat rancangan untuk meletakkan pejabat Ketua Audit Negara di bawah parlimen.

"Setahun sudah berlalu, kita tidak pernah mendengar apa-apa berita mengenai kedua-dua janji itu," kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

"Adakah Paul Low ditipu bosnya sendiri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau (mungkin) menolak cadangan untuk mengukuhkan kebebasan kedua-dua institusi penting negara itu?

"Jika tidak, apakah ada apa-apa kemajuan dalam rancangan yang beliau katakan?," soal ahli parlimen DAP itu.

Pada persidangan itu, Paul Low berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk meneliti rancangan tersebut.

Paul dilapor berkata untuk menjadikan SPRM sebagai perkhidmatan berasingan memerlukan pindaan perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga anggota Parlimen,

Lim mengingatkan Low bahawa beliau mempunyai sedikit masa untuk mencadangkan perubahan itu bagi diluluskan di parlimen dan sebagai bekas presiden Transparency International-Malaysia, beliau perlu memberikan jawapan kepada orang ramai.

"Malah, sebagai tambahan kepada kedua-dua cadangan, saya juga berminat untuk mengetahui apa yang Paul Low telah lakukan pada hari ke 365 mulai 2 September 2015 (apabila pengumuman itu dibuat)?

"Sebelum perbahasan bajet 2017 bermula di parlimen bulan depan, Low mesti menjelaskan kepada orang ramai mengapa dia harus dibenarkan terus menjadi menteri dan menerima sebahagian daripada bajet negara untuk jawatannya," kata Lim.

Low dipilih dalam kabinet Najib selepas pilihan raya umum ke-13 dengan cara dilantik sebagai senator

Tiada ulasan: