Selasa, 6 September 2016

‘Panjat’ Baitulmal banyak kali tapi kami tidak dipeduli, luah gelandangan

ARIF ATAN
 
 
Mat dan Sue bersama sebahagian anak mereka ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek pagi minggu semalam.Mat dan Sue bersama sebahagian anak mereka ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek pagi minggu semalam.

Keluarga muda ini dilihat duduk tenang pada pagi minggu semalam  di jalan masuk Masjid Jamek dekat persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak itu.

Mereka antara ratusan mungkin ribuan gelandangan di pusat bandar raya atau lebih mesra dipanggil ‘rakan jalanan’ oleh NGO yang saban pagi minggu setia menanti sumbangan sarapan daripada mereka yang cakna.  

Mat, 39, ketika ditanya Malaysia Dateline memberitahu sudah sembilan bulan keluarganya menjalani kehidupan sebagai warga miskin kota selepas terpaksa berhijrah dari Jengka, Pahang bersama isteri, Sue, 33, dan enam anaknya yang lain.

“Di Kuala Lumpur ini, saya ambil upah angkut dan turunkan barang dari lori. Upah ikut hari. Kalau dah habis, kenalah saya cari kerja lain pula,” katanya yang duduk di pangkin batu bersebelahan stesen LRT Masjid Jamek itu.

Menurut Sue yang sedang meriba anak perempuan bongsunya berusia baharu dua bulan itu, mereka sebelum ini menyewa secara harian di premis sekitar Lorong Haji Taib jika mempunyai wang.

“Sehari sewa RM20. Itu pun tidak mampu sewa sampai berhari-hari jauh sekali untuk sewa secara bulanan. Sekarang ini pun sudah dua minggu kami anak beranak tidur berbumbungkan langit sebab tidak mampu sewa harian lagi.

“Malam tadi (Sabtu, 3 September) kami tidur di Dataran Merdeka. Alas kotak, suratkhabar. Bolehlah lelap sekejap mata . Anak-anak kami enam orang semuanya pun tidur di mana kami tidur,” ceritanya tenang.

Kena ‘syarahan'

Ditanya tentang usaha untuk meminta bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mat dan Sue semacam hampir putus asa dengan layanan institusi yang dipertanggungjawabkan memelihara kebajikan orang Islam itu.

“Masuk bulan keempat berada di KL ini, kami cuba minta bantuan daripada Baitulmal. Mulanya, ustaz (pegawai) itu kata kami belum cukup tinggal setahun, atau dua tahun untuk dapat bantuan.

“Tapi selepas itu banyak kali juga cuba nasib ‘panjat’ Baitulmal tapi sedihnya rayuan kami tidak dipeduli. Macam-macam syarat pula pegawai bertugas ‘syarahkan’ kepada kami.

“Sekarang, entahlah. Nak minta sekali lagi pun segan. Kita pun ada maruah,” kata Mat sambil memerhati kedua-dua anaknya Haikal,6 dan Hafiz, 3 sedang bermain di pondok telefon di jalan masuk ke Masjid Jamek itu.

Selanjutnya Sue menyambung cerita suaminya, kali terakhir mereka mencuba nasib memohon bantuan kecemasan di Baitulmal yang terletak di Lorong Haji Hussein 2 itu adalah pada minggu lalu.

“Tapi sekarang ini Baitulmal kata sekali setahun saja boleh tuntut bantuan kecemasan. Kalau sebelum ini hadnya ditetapkan pada tiga kali.

“Ramai orang macam kami kata bantuan diberi lebih kepada pilih kasih. Orang ramai kata keluarga di Kampung Baru yang dikira ada rumah dan tanah itu boleh pula dengan mudah-mudah saja diberi bantuan.

“Entahlah. Kami pun susah nak percaya. Mustahil Baitulmal yang ramai ustaz-ustaz  tu ada sikap pilih kasih tapi pengalaman kami sendiri nampaknya susah betul nak minta bantuan dengan Baitulmal,” ujar Sue lagi.

Mengulas tentang pendidikan anaknya, beliau berkata, empat anaknya dengan paling sulung berusia 13 tahun berpeluang mendapat tempat di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit.

SueSue“Alhamdulillah. Semua perbelanjaan ditanggung oleh pihak sekolah cuma buat masa ini, tiada lagi asrama untuk murid-murid. Jadi, keempat-empat anak kami akan tidur di mana-mana tempat yang sesuai sekitar KL ini bersama kami,” katanya.

Untuk rekod, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit diwujudkan oleh kerajaan dengan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di kawasan tersebut.

Banyak pihak daripada aktivis sosial dan NGO kemasyarakatan menyifatkan jumlah gelandangan atau rakan jalanan di ibu negara semakin bertambah ekoran kepincangan agihan ekonomi.


Tiada ulasan: