Khamis, 1 September 2016

JAKIM kena permudahkan usahawan IKS dapat sijil halal






Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Penaung Halal Fiesta Malaysia (HALFEST), YAM Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah (kanan) mendegar penerangan dari anak-anak orang asli Miera a/p Andomi (tiga kanan) dan Niza a/p Andomi (empat kanan) mengenai Produk Teego Fast Snack ketika melawat tapak-tapak pameran di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 SEPTEMBER 2016.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Penaung Halal Fiesta Malaysia (HALFEST), YAM Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah (kanan) mendegar penerangan dari anak-anak orang asli Miera a/p Andomi (tiga kanan) dan Niza a/p Andomi (empat kanan) mengenai Produk Teego Fast Snack ketika melawat tapak-tapak pameran di Pusat Pameran MINES, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,



“Saya mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dapat memberi kelonggaran kepada usahawan-usahawan Islam yang mengeluarkan produk sendiri untuk mendapatkan sijil halal yang dikeluarkan.”

Itu kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat masih ramai usahawan beragama Islam yang tidak mendapatkan sijil halal kerana dipercayai merumitkan.

“Saya difahamkan untuk mendapat sijil halal, semua usahawan perlu memenuhi syarat termasuklah dari segi kebersihan, peralatan, premis kilang dan beberapa perkara lagi. Itu adalah syarat yang ditetapkan tetapi ada di kalangan usahawan ini hanya bermodalkan jumlah kewangan yang kecil dan tidak mampu untuk memenuhi syarat yang diminta JAKIM.

“Maka saya cadangkan di sini agar mereka diberi kelonggaran sedikit agar tidak membebankan mereka yang mungkin berpendapatan tidak sebanyak mana,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Expo Halal Terbesar Malaysia 2016 (Halalfest 2016) di Seri Kembangan, Serdang pagi tadi.
Turut hadir, Penaung Halalfest, YAM Tengku Datuk Ning Fatimah Sultan Ahmad Shah.

Halalfest bertujuan meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal dengan menggalakkan gaya hidup yang berteraskan halal dalam kalangan rakyat Malaysia di samping mendidik orang ramai betapa pentingnya memilih produk yang memiliki sijil halal yang sah.

Dengan kecenderungan pengguna yang mula beralih kepada produk dan perkhidmatan halal pada masa kini, adalah penting bagi usahawan untuk mendapatkan sijil halal supaya mereka turut menjadi sebahagian daripada pasaran yang menguntungkan ini.

Kata Ismail Sabri, JAKIM mungkin boleh memberi garis panduan atau syarat lain yang lebih memudahkan bagi menggalakkan lebih banyak usahawan menghasilkan produk yang disahkan status halalnya.

“Apa yang saya nampak, usahawan-usahawan ini adalah orang Islam yang pastinya akan memberi keutamaan tentang halal dan haram begitu juga dengan dosa dan pahala. Jadi, semua produk yang dihasilkan sememangnya halal cuma mereka ada kekangan untuk mendapatkan kelulusan JAKIM sahaja,” ujarnya.

Lebih 500 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menyertai Halalfest 2016 dengan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 150 usahawan disokong oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) melalui pelbagai agensinya seperti Mara, Felda, Risda dan sebagainya.

“KKLW faham sumber kewangan yang terhad merupakan masalah besar kepada usahawan IKS dan kami menyokong mereka dengan memberi subsidi kos sewaan gerai di Halalfest 2016,” kata Ismail Sabri.

Ekspo halal terbesar di Malaysia anjuran KKLW pada kali ini bermula semalam iaitu pada Hari Kebangsaan dan berakhir pada 3 September 2016.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: