Selasa, 6 September 2016

Nur Jazlan nafi pelawa MP bermalam di penjara

Kow Gah Chie 


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan beliau mempelawa ahli parlimen PKR, N Surendran untuk bermalam di penjara.

Katanya, kenyataan beliau disalah-tafsirkan oleh media.

"Saya hanya kata mungkin beliau perlu mengalami hidup dalam penjara, adakah saya mempelawanya?

"Saya tidak fikir, itu satu pelawaan. Saya hanya kata mungkin beliau harus bermalam dalam penjara dan menilai apa yang berlaku di sana," katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar keselamatan psikologi KDN di Putrajaya hari ini.

"Apabila kamu (media) membuat kesilapan, adakah itu salah saya?" soalnya.

"Saya rasa sebagai seorang peguam, beliau tidak memahami prosedur undang-undang. Untuk dimasukkan ke penjara kamu perlu untuk melakukan suatu kesalahan," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak boleh menjemput sesiapa untuk tinggal di penjara.

Beliau diminta mengulas kenyataan Surendran, yang berkata dirinya bersedia menerima pelawaan untuk menjalani hidup sehari sebagai penghuni di sel Penjara Kajang.

Nur Jazlan yang juga ahli majlis tertinggi Umno, menegur Surendran kerana cuba mempolitikkan isu itu dan mencari publisiti.

Tiada ulasan: