Ahad, 4 September 2016

Najib Razak dedah anak muda makan mi segera ‘pecah tiga’

ARIF ATAN
 
 
Najib Abdul Razak (kanan) bersama rakannya, Badrul Amin Abdul Rahman menceritakan kesempitan kewangan anak muda hari ini.Najib Abdul Razak (kanan) bersama rakannya, Badrul Amin Abdul Rahman menceritakan kesempitan kewangan anak muda hari ini.


Berkongsi menjamah sebungkus mi segera dengan tiga rakan lain bukan satu situasi pelik bagi sebahagian pelajar di institusi pengajian tinggi hari ini.

Demikian luah Najib Abdul Razak, 20, seorang pelajar Politeknik Nilai, Negeri Sembilan ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Masjid Jamek di ibu negara pagi minggu ini.

“Kami pun di poli(teknik) makan Maggie ‘pecah tiga’. Duit pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional) yang diterima mana ada cukup. Jangan tuduh kami tak cuba berjimat sebab harga barangan sekarang semakin mahal.

“Harga makanan yang dah sedia tinggi tu naik lagi selepas kerajaan buat pula GST (cukai barang dan perkhidmatan). Lagi tersepit bagi majoriti kami yang terpaksa berhimpit di rumah sewa sebab asrama yang disediakan terhad,” dedah penuntut Diploma E-Dagang itu.

Beliau bersama 25 rakan sepengajian lain ketika ditemui Malaysia Dateline baharu sahaja selesai mengagihkan sumbangan sarapan sebanyak 500 bungkusan kepada gelandangan atau warga miskin kota di pusat bandar raya.

Mengakui ini adalah pengalaman pertama mereka membuat kerja kesukarelawanan, Najib memberitahu aktiviti mereka itu adalah bagi keperluan satu subjek yang diambil.

“Apa yang kami buat ini mulanya untuk memenuhi syarat subjek ‘Komunikasi dan Penyiaran Dalam Islam’ tapi bila turun sendiri baru kami celik tengok sendiri apa realiti berlaku sekarang ini.

“Sebahagian masyarakat kita yang ramainya datang dari luar bandar jadi gelandangan sebab mereka tak mampu memiliki kediaman sendiri. Kami sedar tentang banyaknya perkara tak kena tentang agihan kekayaan ekonomi negara ini,” katanya lagi.
Mat, 39, dan pasangannya, Sue, 33, bersama anak mereka antara ribuan warga miskin kota yang menerima sumbangan NGO pada pagi hari minggu.Mat, 39, dan pasangannya, Sue, 33, bersama anak mereka antara ribuan warga miskin kota yang menerima sumbangan NGO pada pagi hari minggu.
Sementara itu, rakannya Badrul Amin Abdul Rahman, 20, menyelar tanggapan sesetengah pihak yang kononnya penuntut hidup mewah tetapi sengaja mengada-adakan cerita tentang kepayahan kewangan yang dialami.

“Mereka jangan menilai dari segi luaran. Memanglah pelajar hari ini masing-masing ada ‘handphone’ tapi itu sudah jadi keperluan untuk berhubung. Lainlah yang beli ‘handphone’ mahal, dia memang keluarga kaya selain kita tidak nafi ada segelintir pelajar yang boros tidak ukur baju di badan sendiri.

“Tapi ketahuilah kerajaan dan rakyat Malaysia, majoriti pelajar hari ini memang hidup tersepit. Jangan kata kami malas sebab ramai daripada kami terpaksa buat kerja ‘part time’ awal-awal lagi sebelum Ahmad Maslan (menteri) suruh sebab terpaksa nak tampung banyak kos hidup.

“Kami tak mahu beban orang tua di kampung. Nak harap duit PTPTN memang tak cukup,” tegas anak peneroka Felda Kepis, Bahau, Negeri Sembilan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil sebelum ini menggesa kerajaan supaya menyemak semula dan memberikan suntikan tambahan kepada bajet pendidikan agar dapat meringankan beban penuntut di institusi pengajian tinggi.

“Saya bimbang poket mahasiswa yang kekeringan akan menjejaskan fokus dan mutu pembelajaran dan kemungkinan mereka terpaksa bekerja separuh masa tidak dapat dielak,” ujarnya dalam satu kenyataan, 1 September lalu.
Di sebalik tawa anak muda ini, mereka terpaksa berjimat dan berkerja sambilan untuk meneruskan pengajian ketika kos sara hidup semakin meningkat.Di sebalik tawa anak muda ini, mereka terpaksa berjimat dan berkerja sambilan untuk meneruskan pengajian ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Situasi sebahagian mahasiswa hidup berlapar dilihat ketara sejak beberapa tahun lalu ekoran peningkatan kos pengajian dan sara hidup lain yang tidak seiring dengan peningkatan hasil pendapatan isi rumah.

Pada masa sama, sebahagian universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) difahamkan sudah tidak mempunyai dewan makan yang sebelum ini disubsidi kerajaan dan menjadi tempat bergantung penuntut khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Tiada ulasan: