Khamis, 8 September 2016

Menteri patut malu guna PIBG kutip derma selenggara sekolah

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Aminolhuda HassanAminolhuda Hassan


Tindakan Kementerian Pendidikan menyokong cadangan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Noh Omar agar persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) mewajibkan kutipan derma bagi penyelenggaraan bangunan sekolah adalah memalukan di saat negara sudah 59 tahun mencapai kemerdekaan.

Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional Aminolhuda Hassan berkata, di saat rakyat dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup akibat harga barangan dan perkhidmatan meningkat angkara cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cadangan menteri berkenaan untuk mewajibkan kutipan derma dan sokongan Kementerian Pendidikan adalah amat dikesali.

"Mesti ramai ibu bapa gembira dengan berita ini, sama macam betapa gembiranya mereka sebab kena derma kertas A4 kepada sekolah sebelum ini.

"Di samping menderma setiap hari kepada kerajaan melalui cukai GST, ibu bapa boleh juga menderma untuk penyelenggaraan bangunan sekolah anak-anak anda," ujarnya sinis.

Pengerusi AMANAH Johor itu juga mempersoalkan sikap kerajaan BN yang secara berterusan membebankan rakyat sedangkan kutipan hasil cukai GST berjumlah berbilion ringgit.

"Ke mana hasil GST yang ditimpakan kepada seluruh rakyat nak digunakan oleh kerajaan Umno-BN?

"Ke mana hasil Petronas dan lain-lain hasil cukai negara seperti permit import (AP) kereta dan lain-lain digunakan oleh kerajaan Umno/BN?" soal beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani itu juga mempersoalkan sama ada hasil negara masih digunakan untuk membiayai perbelanjaan dan projek mewah perdana menteri seperti membeli dan menyelenggara jet peribadi atau membayar hutang dan faedah yang ditanggung syarikat berkaitan kerajaan, 1MDB yang sarat hutang.
"Akhirnya pembangunan infrastruktur sekolah anak-anak kita terabai dan yang menanggungnya ibu bapa?

"Cukup-cukuplah wahai rakyat Malaysia! Sedarlah anda bahawa perubahan kepimpinan untuk mengurus negara bukan sekadar turunkan PM tetapi menurunkan keseluruhan mereka yang telah membawa negara Malaysia tercinta ini ke lembah kemiskinan intergriti, kemiskinan amanah pemimpin dan kemiskinan rakyat yang dipaksakan ekoran salah urus takbir pemimpin Umno-BN," tegas beliau.

Keratan akhbar 5 September lalu melaporkan kesediaan kementerian mengarahkan PIBG mengutip derma penyelenggaraan sekolah.Keratan akhbar 5 September lalu melaporkan kesediaan kementerian mengarahkan PIBG mengutip derma penyelenggaraan sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan Noh yang juga bekas timbalan menteri pelajaran tetap mempertahankan cadangannya mahu mewajibkan PIBG di semua sekolah di Selangor mengutip derma disebabkan dana kerajaan persekutuan tidak mencukupi.

PIBG katanya boleh menganjurkan aktiviti seperti sambutan hari keluarga atau jualan jumbo bagi mendapatkan dana.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan 4 September lalu mengumumkan kesediaan kementeriannya untuk melancarkan kempen kutip derma bagi menyelenggara bangunan sekolah kerajaan.

"PIBG sudah sedia maklum dengan kekangan yang dihadapi oleh pengurusan sekolah dan kementerian terutama dalam menyalurkan dana bagi penyelenggaraan sekolah," kenyataan beliau dipetik.

Tiada ulasan: