DUNGUN: Mayat
reput yang dijumpai di Pulau Tenggol, di sini semalam dipercayai dibunuh
di lokasi lain sebelum disumbat ke dalam kotak polisterin, kata Ketua
Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub.
Katanya, hasil laporan bedah siasat juga
mendapati terdapat kesan tetakan pada rusuk kiri, kanan dan belakang
badan mangsa yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu.
“Mangsa dipercayai seorang lelaki telah
meninggal dalam tempoh lebih dua minggu… mangsa tidak dipotong namun
(dipercayai) dibiarkan mengalami proses mereput sebelum dibungkus rapi
dengan plastik dan disumbat ke dalam kotak,” katanya ketika dihubungi
Bernama.
Semalam seorang pemandu bot pelancong
bersama-sama tiga rakannya menjumpai kotak polisterin itu ketika berehat
selepas pulang daripada melakukan aktiviti ‘snorkeling’ kira-kira pukul 9.15 pagi di pesisir pantai Pasir Tenggara, Pulau Tenggol.
Ahmad Zailani berkata polis yakin kotak
berkenaan telah diletakkan di lokasi berkenaan dan bukannya dihanyutkan
arus sehingga terdampar ke pesisir pantai.
“Tiada kesan berlumut mahupun warna
pudar pada kotak berkenaan… kita percaya ia memang diletakkan di pulau
itu dan bukannya dicampak ke dalam laut sehingga terdampar,” katanya
sambil menambah kes itu disiasat sebagai kes bunuh.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan