Khamis, 15 September 2016

Mahathir sokong bebas Anwar jika itu kehendak semua pembangkang

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terpaksa akur untuk menyokong usaha membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara, jika semua pihak dalam pembangkang menginginkannya.
 
"Kalau itu kehendak semua orang (parti pembangkang), takkan saya nak kata tak boleh pula," katanya kepada pemberita.
 
Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir usaha pembebasan itu hanya dapat dilakukan selepas pembangkang berjaya menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 
 
"Semua itu akan datang kalau kita dapat jatuhkan Najib. Segala rancangan yang dibuat oleh parti-parti pembangkang itu semua, itu akan datang kemudian. 
 
"Waktu ini kita tidak boleh janji sebab kita tiada kuasa," ujarnya ringkas.
 
Beliau berkata demikian mengulas komitmen yang dibuat Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong usaha pembebasan Anwar dan berikrar menjadikan ia agenda perjuangannya.
 
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pembebasan Anwar buat masa ini amat mustahil selagi Najib menjadi perdana menteri.
 
“Saya rasa amat kasihan apa yang ditanggung Anwar. Sama ada betul atau tidak betul, terserah kepada Allah. Kita terkilan beliau meringkuk dalam penjara.
 
“Ada yang tanya saya boleh ke bebaskan Anwar? Saya lihat slogan ‘Bebas rakyat bebas Anwar’ dilaungkan. Bebaskan rakyat menerusi sistem pilihan raya, maka jika ada pimpinan baharu daripada kita, kita bersama akan fikirkan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
“Jika kita bersetuju itu pra syarat pentingnya, tidak sukar untuk kita bersama membentuk kerajaan baharu kelak,” katanya kepada pemberita, 11 September lalu.
 
Mahathir sebelum itu mengejutkan banyak pihak apabila tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menzahirkan sokongannya kepada tindakan Anwar memfailkan bantahan kepada pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dakwanya tidak sah.
 
 

Tiada ulasan: