Ahad, 18 September 2016

Kenyataan orang Cina masih menguasai ekonomi Malaysia ketinggalan zaman

 
Wakil rakyat DAP itu berkata, perspektif kaum yang masih kekal adalah punca Malaysia terus mengalami kesan politik perkauman.


Liew-Chin-Tong-koon


PETALING JAYA: Dakwaan Tan Sri Tan Koon Swan kononnya kaum Cina masih menguasai ekonomi Malaysia adalah relik pemikiran bekas presiden MCA itu yang pernah menyakiti berjuta orang pada 1980-an, kata ahli Parlimen DAP Kluang.

Liew Chin Tong ketika mempertikaikan kenyataan Tan kononnya masyarakat Cina di Malaysia tidak perlu terkilan kerana mereka masih menguasai ekonomi negara berkata, perspektif kaum yang masih kekal adalah punca Malaysia terus mengalami kesan politik perkauman.

“Kita berada pada abad ke-21 sekarang, dengan kegagalan idea perkauman pada 1980-an, kita perlu memahami pemilikan korporat oleh orang kaya ketika ini terdiri daripada semua bangsa dan tiada kaitan dengan orang biasa berbangsa Cina, Melayu atau India.

“Kita sepatutnya mencari model ekonomi sejahtera berdasarkan orang biasa, bukan sahaja kekayaan orang tertentu atau kaum tertentu.

“Tetapi, cabaran dihadapi Malaysia kini ialah idea pemikiran kaum yang lama masih dikitar semula, seperti tidak boleh dinafikan tetapi mengabaikan hakikat konteks sejarah,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Malay Mail Online versi Cina, semalam.

Tan dalam satu wawancara dengan Sin Chew Daily semalam berkata, masyarakat Cina di negara ini menyumbang sekitar 70% keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Beliau dilaporkan berkata, walaupun sesetengah orang Cina sudah berhijrah kerana percaya mereka tidak menerima layan adil, tetapi masyarakat itu sebenarnya masih mempunyai masa depan cerah di Malaysia.

Tan berkata, walaupun sesetengah orang Melayu menikmati kuasa dan pendapatan tinggi melalui syarikat milik kerajaan, ramai orang Melayu masih hidup susah berbanding orang Cina.

Liew berkata, beliau biasanya tidak akan mengulas kenyataan ahli politik bersara, tetapi komen Tan perlu diberi perhatian, kerana kenyataan sebegini yang menyakiti ramai orang Cina disebabkan krisis koperasi pada 1980-an.

“Ramai orang Cina meletak harap ke atas beliau dan MCA, tetapi ketika koperasi tumbang, mereka kehilangan modal dan simpanan seumur hidup,” katanya.

Tempoh Tan menjadi presiden MCA amat pendek, iaitu pada 1985 beliau menjadi mengetuai parti itu, tetapi pada 1986 dipenjara di Singapura kerana peranannya dalam krisis Pan-El.

Tiada ulasan: