Sabtu, 3 September 2016

Jemput ‘pembunuh rakyat’ Sri Lanka ke negara langgar prinsip demokrasi Malaysia

m_kula_segaran

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa datang ke negara ini seolah-olah menunjukkan Malaysia bersetuju dengan pembunuhan ratusan ribu penduduk negara itu sepanjang sepuluh tahun pemerintahannya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran berkata perkara itu tidak berasas serta bercanggah dengin prinsip demokrasi negara yang mengutuk sebarang perlakuan kejam terhadap rakyat, lebih-lebih lagi jenayah bunuh.

“Saya hairan mengapa beliau diajak ke negara ini, sedangkan beliau merupakan punca kepada pertumpahan darah 150 ribu individu dari keturunan Tamil di Sri Lanka, malah ada antara mereka yang beragama Islam.

“Seorang pembunuh sepertinya patut dihalau keluar (dari negara) secepat mungkin. Dengan
membenarkannya masuk ke Malaysia, kita seperti membenarkan segala jenayah yang telah dilakukannya,” katanya kepada Roketkini.

Rajapaksa yang didakwa terlibat dengan pembunuhan besar-besaran semasa menentang puak pemisah Tamil di Sri Lanka itu telah dijemput menghadiri satu sidang antarabangsa di PWTC hari ini.

Namun, tindakan itu menimbulkan kemarahan masyarakat India di Malaysia, malah kira-kira 70 wakil dari parti-parti politik dan NGO mengadakan tunjuk perasaan di PWTC pagi tadi sebagai membantah kedatangannya ke negara ini.

Menurut Kula, beliau telah membangkitkan isu jenayah perang yang dilakukan oleh Rajapaksa di Parlimen pada tahun 2004 serta meminta agar Malaysia sebagai negara yang demokratik dapat mengecam perlakuan jenayah beliau.

“Menteri Luar pada masa itu, Syed Hamid Albar telah menjawab persoalan saya dengan menyatakan beliau berharap satu perdamaian dapat dicapai (di Sri Lanka). Namun, ia gagal,” jelasnya.

Pembunuhan melibatkan etnik Tamil di Sri Lanka semasa pentadbiran Rajapaksa turut mendapat perhatian Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kemudiannya mendesak agar satu badan bebas diwujudkan bagi menyiasat jenayah berkenaan.

Namun, Kula menegaskan, hal itu telah diabaikan oleh pihak berkuasa Sri Lanka memandangkan Rajapaksa merupakan individu yang sangat berpengaruh di negara itu.

“Sedangkan, segala jenayah beliau telah didedahkan dalam dokumentari bertajuk ‘No Fire Zone’ yang ditayangkan di Channel 4 di United Kingdom,” ujarnya.

Menurut Kula, beliau sendiri pernah membawa dokumentari itu untuk ditayangkan di Parlimen pada 2013, namun hanya kira-kira 20 ahli parlimen yang menontonnya.

Duta Besar Sri Lanka kemudiannya membuat bantahan terhadap tayangan tersebut. – Roketkini.com


Tiada ulasan: