Khamis, 15 September 2016

Jangan cemari wadah baru dengan kekotoran Anwar, nasihat Saiful kepada Muhyiddin

ANTARAPOS.COM


Post Pic



SHAH ALAM: Bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak 'mencemarkan' parti pimpinannya dengan mengharapkan sokongan bekas ketua pembangkang berkenaan.

Menerusi satu artikel bertajuk Warkah Subuh Buat Tan Sri Muhyiddin, Saiful berkata, rakyat marhaen lebih berminat untuk mengetahui hala tuju, dasar dan idealisme parti baharu itu, bukannya janji akan membebaskan banduan yang bersalah, jika berjaya memenangi pilihan raya.

Muhyiddin kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas dipecat daripada Umno.

"Nasihat saya, usah cemarkan wadah baru (PPBM) yang ibarat bayi masih suci ini dengan kekotoran.

"Dalam kamus politik berdusta itu kononnya tidak salah, tapi dalam agama berdusta tak kira dalam politik atau tidak, ia sama sahaja semasa perhitungan di masyar nanti," tulis beliau.

Difahamkan, Saiful mengeluarkan kenyataan berkenaan sebagai mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.

Malah kata Saiful, biarlah Anwar menghabiskan tempoh hukumannya di penjara kerana akhirnya beliau akan dibebaskan apabila sampai masanya kelak.

"Belum terlambat untuk perbetulkan. Namun jika Tan Sri beranggapan 'jalan pintas' ini jalan yang terbaik, maka saya ucapkan selamat 'maju' jaya.

"Kepada Tan Sri, jika benar seperti dilaporkan dalam keratan media, maka saya amat bersimpati dengan Tan Sri. Saya bersimpati kerana di awal perjuangan melalui wadah baru ini Tan Sri sudah terkhilaf,” katanya.

Muhyiddin ujar Saiful, tidak sepatutnya gentar untuk memperoleh sokongan jika yakin wadahnya benar kerana perjuangan berlandaskan kebatilan kurang keberkatannya dan sukar berjaya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Saiful pada 2008.


Tiada ulasan: