Amiril Muttaqien Meketar, Bernama
Industri muzik tempatan ketika ini berada pada tahap kritikal
berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu
atau album secara percuma kepada orang ramai.
Komposer dan penulis lirik, Saari Amri menyifatkan ledakan teknologi
menerusi lambakan laman web yang memberi kemudahan kepada orang ramai
memuat turun karya pemuzik tempatan itu menyebabkan jualan album pada
masa kini mengalami kemerosotan mendadak.
Katanya, jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak
kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album
mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit.
Bercakap kepada Bernama, Saari berkata situasi itu ternyata
memberi impak buruk kepada industri muzik tempatan dan mendorong
kebanyakan syarikat rakaman hanya menerbitkan single kerana tidak berani
melabur untuk menghasilkan album baharu untuk penyanyi tempatan.
"Jika dahulu, album yang diterbitkan saya untuk kumpulan Ukays
bertajuk Bisa Berbisa mampu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 400,000
unit namun realitinya berubah pada masa sekarang.
"Dulu kalau album itu hanya mencatat jualan 10,000 unit, dianggap gagal,
namun sekarang nak cecah jualan sebanyak itu pun 'sakit', malah banyak
kedai muzik terpaksa menutup premis mereka kerana orang ramai tidak
berminat lagi membeli album di pasaran," kata Saari.
Pencipta lagu 'berhantu' Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, pada
tahun 1996 itu berkata lebih menyedihkan, perkembangan itu juga
menghimpit pemuzik tempatan yang tidak menerima sebarang royalti bagi
karya mereka apabila dimuat turun orang ramai melalui laman web yang
menawarkan muat turun lagu secara percuma.
Oleh itu, beliau yang pernah terbabit menghasilkan lagu untuk
penyanyi dan band terkenal seperti Ziana Zain, Nike Ardilla dan Umbrella
berharap pihak berwajib perlu memperkenalkan lesen kepada laman web itu
dalam memastikan pemuzik, komposer dan penulis lirik menerima ganjaran
berkenaan.
"Saya lihat Pihak Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) masih lagi 'fight'
bagi memastikan kami (karyawan muzik) memperoleh royalti hasil daripada
lagu atau album dimuat turun menerusi laman web dan berharap bayaran
dikenakan kepada orang ramai yang memuat turun karya kami pada masa
hadapan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai trend penghasilan lagu tempatan
terkini yang dilihat cenderung kepada jalur muzik era 90-an, Saari yang
masih aktif menghasilkan lagu berkata orang ramai masih menganggap
melodi berkenaan sebagai sesuatu yang dekat dalam diri mereka.
Katanya, kebanyakan muzik pada masa kini tidak mempunyai penghayatan
yang kuat berbanding pada era kegemilangan muzik 90-an yang mampu
menangkap jiwa pendengar dan masih lagi diterima baik sehingga kini.
"Lagu Sudahku Tahu oleh kumpulan Projector Band merupakan contoh
terbaik lagu terkini yang diterima ramai kerana kisah yang terkandung
dalam lagu itu serta melodinya yang berunsurkan muzik lama mungkin dekat
dengan ramai pendengar sehingga menerima sambutan hebat dan menjadi
viral di media sosial," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau yang pernah menghasilkan lagu Bahasa Melayu
buat penyanyi terkenal dari Hong Kong, Andy Lau pada tahun 2001 berkata
pemuzik baharu perlu berani untuk bereksperimentasi dengan karya mereka
bagi memastikan ia diterima ramai dan kekal diingati buat tempoh lama.
Saari yang amat mengagumi bakat dimiliki Yuna sehingga mampu
mengembangkan sayap ke persada muzik antarabangsa berharap ramai pemuzik
mengikut jejak langkah penyanyi itu untuk menembusi pasaran muzik ke
tahap lebih tinggi.
"Pemuzik baharu tidak harus putus asa dalam memperjuangkan karya
mereka dan apa yang penting mereka harus kreatif serta tidak menciplak
karya orang lain," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan