Rabu, 7 September 2016

Huluran tangan Tun, Anwar: Ancaman buat BN

Aksi bersalaman Tun M-Anwar trending di media sosial
Gambar bersalaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi viral di media sosial. - Sumber foto Facebook
 
 
SHAH ALAM – Huluran tangan antara dua seteru hampir dua dekad lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan sebagai satu amaran jelas kepada BN.

Penganalisis politik menjangkakan peristiwa itu mungkin menjadi titik perubahan landskap politik dalam kalangan pembangkang dan politik tanah air.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata titik sejarah itu perlu dipandang serius oleh BN kerana pertemuan itu bukan sekadar untuk menghantar mesej kepada kepimpinan dalam pembangkang tetapi juga amaran kepada kerajaan.

“Sebelum mereka bertindak untuk bertemu itu, pastinya mereka sudah membuat suatu perkiraan yang menyeluruh. Untuk itu BN perlu berhati-hati dan melihat perkembangan tindakan selanjutnya oleh kedua-dua pemimpin ini.

“Jelas bukan mudah utk Mahathir sendiri mengunjungi, bersalaman dan berbicara dengan seteru politiknya selepas 18 tahun Anwar dipecat. Maksudnya, pasti ada sesuatu yang menggerakkan beliau untuk meleburkan ego politiknya sehingga bersedia membuka hatinya kepada orang yang pernah dimasukkannya ke penjara...sesuatu yang amat penting dan kuat.

“Ini mungkin titik tolak yang memberi sinar baru kepada masa depan politik Malaysia dan menjurus ke arah kerjasama politik lebih bermakna dalam kalangan pembangkang bagi berdepan dengan BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke persidangan itu, Mahathir menafikan soal berbaik-baik namun mengulang beberapa kali kehadirannya ada kaitan dengan akta tersebut.

Dalam pada itu, Jeniri akui masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian namun sama ada pertemuan itu bakal mencoret sejarah baharu dalam landskap politik tanah air atau tidak, ia bergantung kepada perkembangan selanjutnya pasca pertemuan tersebut.

“Bergantung pada bagaimana perkembangan politik atau tindakan yang akan diambil Mahathir dan kumpulan Anwar dalam minggu-minggu yang akan datang.

“Kalau ada sesuatu yang konkrit berlaku dari segi kerjasama dalam kalangan parti politik pembangkang ini, kemungkinan kita dapat mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna kerana mereka tidak ada pilihan sebenarnya jika betul-betul nak menumbangkan BN kecuali bersatu dari segi hati dan strategi. Ini juga termasuk dengan memastikan Pas berada di pihak mereka,” katanya.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan melahirkan keyakinan pertemuan itu bukan sekadar atas alasan MKN.

“Kalau sekadar nak menyokong isu MKN ini satu sahaja, satu kenyataan media sudah cukup daripada pihak Tun Mahathir. Mungkin itu (sokongan kes MKN) kenyataan politik yang dikeluarkan tapi hakikatnya lebih besar,” katanya.

Melihat kepada suasana itu, beliau melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera mengambil peluang memainkan peranan atas pertemuan itu.

“Saya lihat Bersatu ini agak perlahan dalam gerak kerjanya. Sebelah Anwar memang sudah lama bergerak tetapi di sebelah Tun Mahathir ini nampaknya...kalau Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum diumumkan penubuhan lagi, mereka sudah buat kerja.

“Bersatu ini sudah memohon untuk daftar pun tapi kelihatan masih tidak bergerak lagi. Bersatu kena tunjuk bahawa parti itu hidup,” katanya.

Beliau yang melihat pertemuan itu sebagai bukti dalam politik tidak ada kawan atau musuh selama-lamanya juga percaya Mahathir mengiktiraf Anwar itu mempunyai pengaruh yang besar dalam politik Malaysia.

“Dan untuk mencapai agenda Tun Mahathir, memang sokongan Anwar itu diperlukan.

“Mungkin kedua-duanya tak setuju antara satu sama lain sepenuhnya namun yang penting sekarang musuh mereka sama,” katanya.

Mengulas kemungkinan ada penyokong yang tidak berkenan dengan pertemuan itu, Wan Saiful berkata, penyokong tidak ada keperluan untuk berbaik-baik antara satu sama lain.

“Mungkin ada yang tidak selesa, rasa tidak setuju kerana mereka ini seteru sekian lama tapi sekarang ini, ada musuh yang lebih besar daripada mereka berdua.

“Penyokong boleh kekal dengan pendirian mereka cuma perubahannya dengan pertemuan ini ialah musuh kedua-dua pihak itu menjadi sama iaitu Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri). Saya rasa dalam politik itu yang penting.

“Selagi mana musuh yang nak dilawan adalah entiti yang sama, pihak yang satu lagi ini tidak perlu berkawan pun, hanya perlu melawan musuh yang sama,” katanya.


Tiada ulasan: