Khamis, 1 September 2016

Harga makanan berisiko meningkat akibat harga gula, kata Rabobank

BERNAMA
 
 
Makanan kandungan gula tinggiMakanan kandungan gula tinggi


Trend harga gula yang tinggi dijangka berterusan untuk beberapa suku tahun akan datang dan akan memberi kesan yang ketara kepada margin makanan dan minuman Asia, menurut laporan terkini Rabobank, 'Hurry Cane: Managing Higher Sugar Prices in Asia'.

Laporan itu menyatakan harga gula mentah dunia meningkat sebanyak 30 peratus sejak pertengahan April, daripada US$14.3 c/lb kepada US$18.8 c/lb (asas niaga hadapan Julai), apabila pasaran mengambil kira potensi pengeluaran gula global yang rendah pada 2016/17.

Rabobank berkata harga gula domestik di Asia juga mula menunjukkan asas yang kukuh dan rantau ini dijangka mengalami defisit gula yang pertama dalam tempoh lima tahun.

Pengeluaran gula di Asia dijangka rendah pada 2016/2017, berikutan kemarau akibat El Nino pada 2015 menyebabkan pengeluaran susut kepada paras terendah dalam tempoh lima tahun, menurut laporan itu.

Pada 2015/2016, Rabobank mengunjurkan Asia akan menyaksikan defisit gula yang pertama dengan anggaran dua juta tan dalam tempoh lima tahun.

Pada peringkat global, selain Eropah dan Brazil mengunjurkan untuk menyaksikan pengeluaran yang lebih baik pada tahun depan, Rabobank menjangka defisit gula dunia sebanyak 5.5 juta tan pada musim yang akan datang.

Rabobank juga berkata minuman ringan menjadi antara pemacu jumlah dagangan paling penting bagi penggunaan gula di Asia.

Selain unjuran pertumbuhan penggunaan minuman ringan di Asia dikurangkan, Rabobank menjangka pertumbuhan kekal mendahului di kebanyakan rantau lain.

Tenusu - terutamanya susu pekat dan aiskrim - dan kuih-muih, segmen utama lain dijangka meningkat pada kadar stabil dalam masa terdekat.

Bagi segmen makanan dan minuman dengan dengan pendedahan yang ketara kepada pemanis, pertumbuhan Asia secara keseluruhan adalah 8.5 peratus berbanding pertumbuhan global 3.0 peratus antara 2006 dan 2015.

Walaupun pasaran makanan dan minuman China perlahan baru-baru ini, 40 peratus daripada pertumbuhan jumlah dagangan global pada 2015-18 adalah daripada pasaran makanan dan minuman Asia.

Inventori rendah dan jangkaan pengurangan tanaman mengekalkan harga gula tinggi, kata Rabobank.

Kesan daripada permintaan yang berterusan dan pengeluaran pada 2015-16 yang rendah mendorong inventori gula Asia kepada paras terendah dalam sejarah.

Bergantung kepada jurang penawaran-permintaan tempatan, harga gula di rantau ini meningkat antara 30 peratus dan 50 peratus daripada paras yang dilihat pada tahun 2015.

Dengan jangkaan pengeluaran pada 2016-17 yang rendah dan pertumbuhan permintaan yang kukuh, Rabobank menjangka terdapat keadaan positif yang mencukupi untuk menyokong paras semasa hingga suku keempat 2016.

Pada paras harga semasa US$17.99 cent per pound, pembeli industri membayar 42 peratus lebih tinggi berbanding harga pada 2015 menandakan tambahan US$3.5 bilion ke atas kos barang yang dijual di peringkat serantau.

Bagi negara tertentu, kesan sepenuhnya akan bergantung kepada sambutan bagi harga gula halus tempatan terhadap jurang penawaran dan permintaan.

Bagi sektor yang bergantung secara langsung kepada gula (seperti minuman ringan, kuih-muih dan susu pekat) sebagai bahan mentah, kesannya amat berat, kata Rabobank.

Misalnya, di India, harga domestik meningkat dengan cepat dalam tempoh enam bulan lepas, dan jika pengguna sektor hiliran lambat memberi tindak balas, ia mungkin bermakna peningkatan kos dan mengurangkan margin keuntungan.

Manakala di Indonesia dan China, apabila pengimportan gula membentuk sebahagian besar penggunaan tempatan, sektor makanan dan minuman akan menghadapi harga borong dan domestik yang tinggi apabila mereka membeli daripada kilang gula tempatan.

Sebaliknya, di Thailand, harga borong domestik dihadkan oleh peraturan kerajaan, mereka akan berasa tiada perbezaan jika harga niaga hadapan gula global terus tinggi.

Sementara itu, pembeli sektor hiliran di Malaysia perlu melaksanakan strategi kewangan dan operasi yang sesuai, dan Filipina, pada tahun ini menjangka mempunyai bekalan gula domestik yang mencukupi, seterusnya kurang terdedah kepada harga gula.

Rabobank berkata bagi syarikat yang terdedah kepada harga gula tinggi, gabungan pendekatan operasi dan kewangan perlu disediakan untuk mengurangkan risiko dan tekanan ke atas margin perniagaan.

Pelan pengurangan risiko syarikat perlu memasukkan gabungan strategi operasi dan lindung nilai komoditi, katanya.

Tiada ulasan: