Ahad, 4 September 2016

Filem Munafik menang 4 trofi

 
 


Filem Munafik membawa pulang empat trofi termasuk Filem Terbaik Nasional pada Festival Filem Malaysia 28 (FFM 28) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Syamsul Datuk Yusuf turut merangkul Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Penyunting Terbaik manakala aktres Nabila Huda menggondol gelaran Pelakon Wanita Terbaik.

Pelakon Lelaki Terbaik pula menjadi milik Pekin Ibrahim menerusi filem Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit.

Sementara itu, filem Tamil tempatan Jagat diangkat menjadi Filem Terbaik Malaysia FFM 28 dengan pengarahnya Shanjey Kumar Perumal memenangi anugerah Pengarah Baharu Terbaik.

Sebanyak tiga filem diberikan Anugerah Khas Juri iaitu Ola Bola, Polis Evo dan The Kids From The Big Apple.

FFM28 yang diterajui pengacara Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, turut menyaksikan Deddy M. Borhan iaitu pengarah dan penerbit filem termasuk filem Azura, Gila-gila dan Toyol dinobatkan sebagai Karyawan Sepanjang Zaman.

Filem Polis Evo turut menggondol tiga anugerah termasuk Filem Box Office dengan jumlah kutipan tayangan sebanyak RM17.4 juta.

Pelakon Baharu Wanita Terbaik dan Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pula dimenangi Falisha Crossley (Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit) dan Adam Shaz (Juvana 2).

FFM tahun ini juga menyaksikan pelakon veteren Fauziah Datuk Ahmad Daud memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Langit Cinta. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dimenangi Hushairi Hussain (Polis Evo).

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: