Ahad, 18 September 2016

Deklarasi Rakyat hanya kenyataan politik, tak mampu jatuhkan Najib

 
Bagaimanapun, pertemuan Dr Mahathir dan Agong menunjukkan baginda agak prihatin dengan isu dibangkitkan dalam Deklarasi Rakyat.


Syahredzan-Johan_najib_raja_600


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memecat Datuk Seri Najib Razak, kecuali majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap perdana menteri.

Ahli Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan Agong memecat perdana menteri berdasarkan petisyen atau deklarasi dibuat rakyat.

“Perlu ada bukti dalam bentuk hilang kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat terhadap perdana menteri,” katanya kepada FMT hari ini, susulan penyerahan Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Agong.

Pegawai khas bekas perdana menteri itu, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT semalam mengesahkan Dr Mahathir yang ditemani bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, Kedah, bagi menyerahkan deklarasi mendesak peletakan jawatan Najib.

Syahredzan berkata, membuat bantahan kepada sultan ketika seseorang ketua kerajaan tidak lagi mendapat sokongan (ahli Parlimen) adalah pendekatan yang diguna pakai di Perak, pada 2009.

Kerajaan Pakatan Rakyat selama 10 bulan yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin digulingkan, selepas 3 adun mengisytiharkan mereka calon Bebas sokong Barisan Nasional yang memberi kelebihan 3 kerusi kepada BN.

Sultan Azlan Shah enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti dinasihatkan Nizar, sebaliknya melantik Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar baharu.

Mahkamah Persekutuan pada 2010 memutuskan hilang kepercayaan terhadap ketua kerajaan tidak semestinya dibuat melalui undi di DUN, tetapi boleh ditentukan sultan atau Agong daripada sumber luar.

Syahredzan bagaimanapun berkata, cara terbaik untuk ahli Parlimen membuat undi tidak percaya terhadap perdana menteri ialah ketika Parlimen bersidang.

Peguam itu berkata, walaupun deklarasi yang ditandatangani 1.4 juta rakyat tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia sekadar kenyataan politik.

“Bagaimanapun, hakikat Agong berkenan menemui Dr Mahathir menunjukkan keprihatinan baginda mengenai isu dibangkitkan dalam deklarasi itu,” katanya sambil menambah ahli Parlimen, khasnya daripada BN perlu mendapatkan pandangan pengundi dan bertindak sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan ahli Parlimen yang kesetiaan mereka terletak di tangan pengundi, bukannya pemimpin atau parti politik.
 

Tiada ulasan: