Khamis, 1 September 2016

Dah alang-alang dedah MO1, dedah lah sekali 1MDB – PAS

INTAN NUR IDAYU


Rahman-PAS-1MDB


KUALA LUMPUR: PAS menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan terhadap syarikat penuh bermasalah, syarikat 1 Malaysia Development berhad (1MDB) yang melibatkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini yang mengesahkan Malaysian Official 1 (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

“Pengakuan Abdul Rahman sepatutnya menjadi berita baik kepada kepada Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang kini giat membanteras rasuah.

“SPRM perlu membuka kembali kes 1MDB dan dana masuk ke akaun PM dengan menyiasat segala dakwaan DOJ secepat mungkin agar pihak luar tiada peluang untuk mencampuri urusan pentadbiran negara. SPRM juga perlu menggesa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk menilai kes 1MDB semula.

“Kami yakin semua parti politik akan menyokong penuh SPRM dalam usaha ini untuk menaikkan lagi imej SPRM dan menangkis tuduhan bahawa SPRM tidak berani menangkap ikan jerung,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini. 

Difahamkan, portal BBC.com hari ini melaporkan Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi beliau pada masa yang sama turut memberitahu nama Najib tidak dinyatakan dalam laporan tersebut kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan DOJ. 

Rahman yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu turut menolak sebarang dakwaan yang mengatakan Najib perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan keatasnya ini dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. 

Katanya, ia adalah satu tindakan yang melampau untuk menyuruh Najib letakkan jawatan. 

Bagi Tuan Ibrahim pula, beliau berterima kasih dengan pengesahan Rahman Dahlan ini malah beliau turut mengesyorkan menteri itu supaya mendedahkan lagi maklumat lain berkaitan dengan DAP. 

“Terima kasih Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengesahkan bahawa ‘Malaysian Official 1’ sememangnya ialah Perdana Menteri. 

“Apakah pengakuan ini juga bermakna dakwaan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ada asasnya? Jika tiada asas, masakan boleh samakan MO1 itu ialah PM?

“Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1, bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?” ujarnya

Tiada ulasan: