Khamis, 8 September 2016

Cemar nama baik Tok Guru


Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas
Razak


RANTAU PANJANG – Tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menggunakan nama bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi setelah pemergiannya.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas mencadangkan agar ahli keluarga Allahyarham mengambil tindakan undang-undang terhadap Husam yang masih menggunakan nama Tok Guru demi kepentingan individu.

Menurutnya, tindakan Husam itu turut mencemar nama baik Allahyarham untuk kepentingan duniawi.
“Jika perkara ini berterusan, saya harap ahli keluarga Allahyarham buat aduan agar pihak lain terutama Husam tidak lagi menggunakan nama tokoh Pas itu untuk kepentingan diri,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kelab, Datuk Adnan Mohd Zain berkata, tindakan Husam itu seperti tidak mempercayai kemampuan sendiri kerana masih menggunakan nama Tok Guru.

Menurutnya, ia sekadar mencari sokongan rakyat, sedangkan rakyat membenci tindakan itu kerana menggunakan pengaruh tokoh yang sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat Husam mencari publisiti bagi mencari pengaruh dalam parti sendiri.

Katanya, Husam mungkin mengejar jawatan Presiden Amanah, sedangkan jawatan itu masih dipikul Mohamad Sabu (Mat Sabu).

“Selagi Mat Sabu tak beri jawatan itu kepada Husam, kami percaya Amanah tidak akan aman daripada pelbagai masalah,” katanya.

Dua hari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan Husam kerana menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz selepas kematiannya dan menyifatkan kenyataan Husam itu sebagai jahil agama.

Anak kepada pemimpin itu, Nik Abduh turut tampil memberi kenyataan sinis di laman Facebook miliknya, semalam.


Tiada ulasan: