shahbudindotcom
Setelah
18 tahun berlalu iaitu sejak dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 2
September 1998, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim hari ini bertemu
semula dan bersalam-salaman, menandakan berakhirnya perseteruan politik
yang berlaku selama ini.
Walaupun
kehadiran Tun Mahathir di Mahkamah Tinggi ialah untuk memberi sokongan
kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang memfailkan saman terhadap
kerajaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara, di mana kedua-dua
pemimpin tersebut menentang perlaksanaan undang-undang yang antaranya
memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat,
realitinya pengertian pertemuan ini memberi makna yang lebih jauh
daripada itu.
Dengan
pertemuan bersejarah ini, kedua-dua mereka kini dalam persamaan untuk
bergabung tenaga bagi mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum
akan datang, seterusnya memastikan Najib tersingkir dari kerusi Perdana
Menteri yang sedang empuk didudukinya.
Walaupun
sejak Tun Mahathir keluar UMNO dan kemudian menginisiatifkan parti
BERSATU, beliau sudah menjalinkan hubungan dengan PKR yang dipimpin oleh
Dr Wan Azizah Wan Ismail, pertemuan bertentang mata dan bersalam dengan
Anwar ini merupakan sejarah baru dalam politik negara ini.
Ia
secara langsung memberi isyarat tiada lagi perselisihan peribadi antara
kedua-dunya dan mereka sanggup berbaik serta bersatu hati demi
sama-sama menyelamatkan negara dek onar dan masalah yang dicetuskan
Najib sehingga Malaysia sekarang ini menjadi lebih bualan buruk di
seluruh dunia.
Sudah
barang tentu penyokong Tun Mahathir dan Anwar di semua peringkat
masyarakat turut sama bertaut hati dan perasannya, seiring dengan
bertemunya kedua-dua pemimpin tersebut
Penggabungan
Tun Mahathir dan Anwar ini turut memberi tanda bahawa nyawa politik
Najib, UMNO dan BN sudah berada di halkum, hanya menunggu detik dan
waktunya saja untuk terpisah daripada kuasa yang digenggam selama ini.
Jika
dalam pilihanraya 2013 lalu di mana ketika itu Pakatan Rakyat yang
dipimpin oleh Anwar Ibrahim, BN hanya mampu menang dengan kelebihan 23
kerusi Parlimen, tetapi kalah undi popular dengan 47 peratus berbanding
52 peratus, bayangkan dalam PRU 14 akan datang bila mana Tun Mahathir
dan Anwar sudah sama-sama berganding bahu?
Bersama
isu-isu lain seperti 1MDB, duit ribu-ribu juta dalam akaun peribadi
Najib, perangai Rosmah, pembaziran, kemewahan dan macam-macam lagi
kemelut yang sedang berlaku dalam negara, genggaman kuasa UMNO dan BN
kini tidak ubah ibarat telur di hujung tanduk.
Kesediaan
Tun Mahathir ke mahkamah bertemu Anwar ini adalah isyarat pukulan maut
yang bakal melumpuhkan Najib secara perlahan-lahan jika beliau ingin
terus bertahan sehingga PRU 14 akan datang.
Meskipun
Anwar mungkin berada di dalam penjara semasa kempen PRU 14 nanti, jiwa
dan perjuangannya, setelah berbaik-baik dengan Tun Mahathir ini, menjadi
lebih debat di hati rakyat yang begitu mengharapkan perubahan.
Dalam
masa yang sama, impian Najib Ahad lalu yang mahu jentera UMNO berusaha
bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang dengan
kelebihan 40 undi di Pekan, hampir tidak memberi sebarang makna lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan