Khamis, 1 September 2016

9 hadir beri keterangan di IPD Dang Wangi

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Anis Syafiqah ketika hadir bersama peserta, peguam dan penyokongnya di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.Anis Syafiqah ketika hadir bersama peserta, peguam dan penyokongnya di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Wan Salleh.


Sembilan peserta perhimpunan #TangkapMO1 pada Sabtu lalu hadir memberikan keterangan hari ini di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur.

Antara yang dipanggil ialah enam mahasiswa iaitu Anis Syafiqah, Aqilah Zainuzi, Suhail Wan Azahar, Khairol Najib Hashim, Luqman Nur Hakim dan Luqman Hakim.

Tiga lagi ialah Ketua Angkatan Muda (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad, Isaiah Jakob dan Amir Abdul Hadi.
Anis yang juga Pengerusi Gabungan #TangkapMO1 berkata, mereka akan memberikan keterangan berkaitan perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu.

Nik Nazmi berkata, beliau dimaklumkan terdapat tiga tuduhan yang dibuat ke atas mereka, iaitu berkaitan mengancam demokrasi berparlimen serta tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948.

“Kita amat kesal sempena kita sambut kemerdekaan semalam, mahasiswa tunjuk keberanian yang sangat hebat kerana anjur perhimpunan untuk tegak keadilan kerana tak puas hati mengenai skandal yang membelenggu negara telah dipanggil pihak polis,” katanya.

Kordinator Penerangan Gabungan TangkapMO1 Aqilah Zainuzi dalam satu kenyataan berkata, mereka yang dipanggil pihak polis akan hadir bersama pada jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

Peserta termasuk penganjur himpunan #TangkapMO1 Sabtu lalu disoal siasat polis di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 9 (5) akta perhimpunan aman di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Menurut peguam yang mengiringi mereka, Melissa Sasidaran berkata, walaupun gembira mereka tidak direman namun beliau mengecam tindakan polis yang memanggil orang awan yang tidak bersalah.

Sedangkan katanya' Malaysian Official One' yang dikaitkan dengan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak masih bebas.

"Kita gembira mereka tidak direman tetapi kecam kenapa mahasiswa dan aktivis ini dipanggil untuk disoal siasat kerana menganjurkan perhimpunan aman sedangkan MO1 yang mana kita dah tahu identitinya, Datuk Rahman Dahlan kata semua orang tahu MO1 ialah Najib Razak dan dia masih bebas," katanya kepada pemberita selesai soal siasat.

Anis yang juga Pengerusi Gabungan #TangkapMO1 pula berkata, beliau terkilan dengan polis yang menyiasat mereka yang tidak melakukan kekacauan namun berharap prosedur siasatan dapat berlangsung dengan baik.

“Terima kasih pada polis beri kerjasama yang baik semasa beri keterangan dan cuma kami mahasiswa terkilan, kami yang anjur perhimpunan aman, tapi dipanggil beri keterangan.

“Harap selepas ini prosedur dapat  dijalankan dengan baik, kami tuntut keadilan sebagai mahasiswa dan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad disiasat di bawah Sekyen 9 (5) akta hasutan.

Peguam beliau, Adi Zulkarnain Zalkafli berkata, Nik Nazmi akan memberikan keterangan di mahkmah nanti.

Kesemua mereka disiasat kira-kira 1 setengah jam.

Anis Syafiqah dan Aqilah Zainuzi ketika berjalan keluar dari balai polis selepas memberikan keterangan mereka.Anis Syafiqah dan Aqilah Zainuzi ketika berjalan keluar dari balai polis selepas memberikan keterangan mereka.
    

Tiada ulasan: