Isnin, 2 Mei 2016

Zahid mahu tengok, siapa anggota PGA akan pangkah?

Lu Wei Hoong





Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk Pasukan Gerakan AM (PGA) di Kuching, sehari sebelum anggota pasukan itu membuang undi esok.

Peruntukan RM100,000 diberikan kepada surau dan gereja bagi anggota yang beragama Islam dan Kristian, manakaka RM50,000 lagi bagi Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Zahid berkata beliau juga akan mempertimbangkan permintaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menaikkan elaun anggotanya, namun menyatakan beliau mahu 'melihat' siapa akan mereka undi terlebih dahulu.

"Tan Sri IGP pun bisik dengan saya tiap-tiap kali mesyuarat, 'elaun anak-anak buah saya macam mana?

"Tuan-tuan dan puan-puan, buktikanlah kepada saya. Saya cakap saya buat.

"Tetapi (saya) nak tengok dulu, (anda akan) pangkah siapa?," katanya pada majlis di kem batalion ke 11 PGA di Kuching.

Zahid menambah beliau juga merancang untuk menaiktaraf unit PGA kepada jabatan penuh.

"Apabila ia jadi sebuah jabatan maka ada naik pangkat. Ada nombor satu, nombor dua, nombor tiga.

"Saya jaga anak buah saya naik pangkat, tetapi sebelum ini dibuat, saya nak bukti dulu. Kalau bukti memalukan susahlah saya nak minta dengan YAB PM. Insha Allah kita buktikan dulu nanti perjuangkan," katanya.

Perkenalkan calon BN

Turut hadir ialah Khalid dan Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian yang bertanding bagi kerusi Batu Kawah.
Menyedari esok adalah hari penting, Zahid menggesa anggota PGA tidak 'lupa dan membantu' beliau.

Beliau menekankan tidak berkempen kepada mereka, namun pada masa sama turut memperkenalkan calon BN.

"Saya tak ada kempen di sini...yang saya lakukan untuk jaga kebajikan anak-anak buah saya.

"Saya tak kempen, tapi saya nak Dr Sim datang ke depan sikit, angkat tangan la sikit," katanya sambil disambut tepukan daripada mereka yang hadir.

Zahid kemudian memberitahu Sim jika memenangi pilihan raya, calon BN itu perlu menjaga kebajikan semua anggota dalam pasukan polis.

"Kalau Prof Sim tak ada peruntukan untuk bantu anak buah saya, bagitahu saya salurkan peruntukan melalui DUN Batu Kawah yang terpilih.

"Saya minta sekali sahaja dia terpilih sebab dia mahu bukti bagi perkhidmatan terbaik untuk semua kita dalam penggal ini.

"Kalau dia bagi perkhidmatan yang baik, kita teruskan. Tapi kalau tidak, baik, ini yang pertama dan terakhir untuk kamu," katanya.

Zahid juga menegaskan rekod menunjukkan beliau telah meluluskan pelbagai peruntukan untuk PGA termasuk untuk topi keledar, jaket dan kereta perisai.

Unit PGA merupakan cawangan kepada Polis Diraja Malaysia.


Tiada ulasan: