Khamis, 26 Mei 2016

Sungai Besar: Terpulang siapa pilihan Najib

 Noh Omar
Noh Omar


SUNGAI BESAR – Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengakui salah seorang daripada tujuh nama yang dicalonkan BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar merupakan seorang guru.

Bagaimanapun, Noh yang telah menyerahkan senarai tujuh nama kepada kepimpinan tertinggi parti itu berkata, soal pemilihan calon hanya diputuskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam senarai nama itu memang ada juga termasuk guru. Guru kita ada, profesional pun ada,” katanya ketika menjawab desas-desus yang mengaitkan salah seorang calon utama BN adalah seorang guru.

Ditanya adakah guru itu termasuk antara senarai utama sebagai calon BN, Noh sekali lagi menegaskan, keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada presiden parti bagi menentukan calon terbaik.

Sebelum ini, peringkat akar umbi menginginkan bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Muslimin Yahaya sebagai calon terbaik BN bagi bertanding di kerusi itu.

Muslimin yang juga guru kaunseling berkhidmat sebagai Kaunselor Organisasi di Pejabat Pendidikan Pelajaran (PPD) Sabak Bernam sebelum dipinjamkan ke kementerian itu bagi membantu Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, Noh mengingatkan pengundi di Parlimen Sungai Besar supaya menilai kemampuan pentadbiran kerajaan negeri yang dikaitkan dengan dakwaan permintaan wang dan perempuan.

“Kalau dulu mereka mengatakan dan menuduh pentadbiran kerajaan BN tak tulus hinggakan rakyat di Selangor terpengaruh dan percaya bahawa kalau beri peluang kepada kerajaan selain BN kononnya kerajaan bersih, telus, kerajaan yang ada integriti, tidak mengamalkan rasuah dan sebagainya.

"Tetapi, nampaknya apa yang berlaku hari ini ibarat pepatah Melayu paku dulang, paku serpih... akhirnya, bila mereka berkuasa kita lihat mereka pula lebih-lebih,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan itu dianggap sesuatu yang serius apatah lagi kenyataan itu dibuat pimpinan kanan parti itu dan bukannya daripada BN.

“Isu ini dibangkitkan seorang yang dikenali yang dapat maklumat mengatakan berlaku urusan sogokan wang dan perempuan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa bertindak bagi menjalankan siasatan terhadap laporan berkenaan.


Tiada ulasan: