Jumaat, 13 Mei 2016

Orang UMNO pohon tanah di Sabah saiz lebih luas dari Pulau Pinang, DAP gesa siasat segera

junz wong


Roketkini.com


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menyiasat permohonan tanah seluas 300,000 ekar oleh tiga individu yang didakwa mempunyai pertalian rapat dengan UMNO di Kampung Nayon, Nabawan di pedalaman Pensiangan.

Keluasan 300,000 ekar itu adalah jauh lebih besar daripada keseluruhan kawasan negeri Pulau Pinang yang mempunyai keluasan 1,031 km persegi atau 254,720 ekar. Keluasan kawasan di Sabah itu juga boleh memuatkan 300,000 padang bolasepak.

Gesaan siasatan itu dibuat Setiausaha DAP Sabah, Junz Wong, berdasarkan tiga pucuk surat yang bertarikh 13 April 2016, di mana beliau turut mendakwa bahawa salah seorang pemohon tanah tersebut merupakan pegawai yang berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri.

“Saya dimaklumkan, setiap mereka mempunyai pertalian yang kuat dengan UMNO yang mana seorang daripadanya dipercayai Setiausaha Eksekutif UMNO, seorang lagi adalah ketua setiausaha politik di Jabatan Ketua Menteri manakala seorang lagi dari UMNO Labuan,” jelas Adun Likas itu.

Menegaskan bahawa permohonan tanah tersebut ini tidak munasabah dan tidak wajar diterima, beliau berkata, pihak terbabit telah diberi amanah untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah dan sepatutnya melindungi tanah-tanah penduduk kampung, tetapi mereka bertindak sebaliknya.

“Bagaimana mungkin seorang pegawai kerajaan memohon 300,000 ekar tanah?” soal beliau.

Menurut Junz, beliau juga mendapat tahu ada sepucuk lagi surat bertarikh 12 Mei 2016 yang dikeluarkan sendiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan kepada Jabatan Tanah dan Ukur yang membantah permohonan tanah tersebut.

“Menariknya dalam kes ini, UMNO Pensiangan juga tahu ada sesuatu yang salah berlaku dan membantah permohonan 300,000 ekar itu.

“Saya akan ikuti perkembangan isu ini dengan teliti dan menggesa ketua menteri dan jabatan ukur untuk menjelaskannya,” ujar beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: