Jumaat, 13 Mei 2016

DAP Johor kesal SB intip telefon peribadi TMJ

chintong_sbinttipmj

Roketkini.com


KLUANG: DAP Johor hari ini melahirkan kebimbangannya berikutan tindakan kerajaan melalui Cawangan Khas (SB) yang dikatakan mengintip telefon peribadi milik Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, dalam satu kenyataan medianya hari ini berkata tindakan polis itu tidak mengikut mana-mana undang-undang atau akta yang memberikan hak kepada SB untuk melakukan tindakan terbabit.

Beliau menjelaskan, dalam jawapan balas di Parlimen pada 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri ketika itu memaklumkan bahawa pintasan komunikasi oleh polis dibenarkan hanya dengan kelulusan Pendakwa Raya jika terdapat maklumat berkaitan sesuatu kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan meminta supaya Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri supaya memberikan penjelasan yang memuaskan berkaitan tindakan terbabit.

Semalam, Tengku Ismail yang mesra dipanggil TMJ dalam satu kenyataan mendakwa bahawa SB melakukan intipan melalui telefon peribadi miliknya, malah Bukit Aman turut menyimpan fail mengenainya dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

TMJ turut menyatakan beliau bukanlah pengganas yang perlu diintip dan diawasi.

“Tunku Ismail tidak boleh diintip hanya kerana baginda ada kalanya meluahkan pandangan yang tidak dikongsi bersama oleh kerajaan persekutuan.

“Malah, kerajaan tidak harus mengintip rakyat hanya kerana aktiviti politik dan pandangan mereka,” tegas Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang. – Roketkini.com


Tiada ulasan: