Jumaat, 13 Mei 2016

Najib perlu jelas sama ada anak tirinya ada kaitan dengan skandal 1MDB

MP DAP PJ Utara Tony Pua
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak digesa tampil menjelaskan dakwaan terbaru The Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan kekayaan yang dikumpul anak tiri perdana menteri terbabit, Riza Aziz, dengan skandal yang melibatkan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan laporan WSJ yang mendakwa bahawa dua buah hartanah di New York dan Beverly Hills, masing-masing bernilai US$33.5 juta dan US$17.5 juta yang dimiliki Riza pada 2012 adalah hasil daripada pindahan wang dari Aabar Investment PJS Ltd. ke Red Granite Capital, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Riza.

Menurut laporan itu juga, pindahan wang pada tahun berkenaan dibuat dalam empat transaksi berasingan dengan keseluruhan jumlah hampir US$288 juta.

Bagaimanapun, syarikat yang menjalinkan usahasama dengan 1MDB dan berhak mendapatkan bayaran yang sepatutnya diterima oleh Aabar Investment PJS Ltd. berkenaan, iaitu International Petroleum Investment Corporation (IPIC) telah secara rasmi menafikan bahawa syarikat Aabar terbabit adalah anak syarikat miliknya.

Sehubungan itu, menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee, Najib yang juga pengasas 1MDB tidak harus berdiam diri, sebaliknya digesa supaya tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan media antarabangsa berkenaan atau terpaksa berhadapan tanggapan buruk rakyat terhadapnya.

“Perdana Menteri harus menunjukkan bukti bahawa Riza Aziz, dengan pengalaman kurang daripada empat tahun sebagai pegawai bank HSBC London dan mengasaskan Red Granite pada 2011 dapat mengumpulkan kekayaan seumpama itu secara sah, bersih dan tidak melibatkan 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor turut menempelak jawapan yang pernah diberikan Najib kepada The New York Times berkenaan dana yang diperoleh Riza yang menurut Najib tidak dapat dikesan, malah tidak tahu menahu jumlah wang yang telah dilaburkan oleh Riza.

“Alasan yang lemah sebegitu, yang sudah lagi tidak boleh dipercaya, tidak lagi boleh dijadikan sebagai alasan sikap berdiam diri Najib terhadap perbelanjaan mewah anak tirinya di Amerika Syarikat,” tegas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. – Roketkini.com

Tiada ulasan: