Isnin, 16 Mei 2016

Malaysia teruskan ratifikasi TPPA ketika sentimen tentangan berleluasa di AS

 BERNAMA
 
 
Rebecca Fatima Sta MariaRebecca Fatima Sta Maria


Kerajaan akan meneruskan semua mesyuarat berkaitan proses ratifikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) biarpun sentimen anti-TPPA dilaporkan berleluasa di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria menegaskan, kebimbangan baharu di AS tidak bermakna semua rundingan berkaitan TPP di peringkat Malaysia, akan dibatalkan.

"Saya rasa ia (sentimen) menjadi bahan perbincangan semua pihak (TPPA) sekarang ini. Kita juga tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku di AS.

"Memang ada banyak kekecohan mengenainya. Kita hanya dapat membiarkannya dan menunggu perkembangan seterusnya di AS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Bank Dunia bertemakan 'The Rise of the South at a Crossroad: A View from East Asia and Latin America' (Dilemma Kebangkitan Blok Selatan : Pandangan Asia Timur dan Amerika Selatan), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sta Maria berkata barisan ketua perunding dan menteri berkaitan dijangka mengadakan rundingan peringkat dalaman mengenai perkara itu di luar acara Mesyuarat Kerjasama Menteri Ekonomi Asia Pasifik di Lima, Peru pada November depan.

"Kita sudah bersetuju mengenainya (mesyuarat peringkat kebangsaan) dan Kabinet juga bersetuju mengenai penubuhan satu jawatankuasa pelaksana TPPA di peringkat kerajaan.

"Momentum itu sememangnya ada. Oleh itu, kita hanya mengadakan mesyuarat biasa dengan pihak pelaksana untuk melakukan apa yang telah diputuskan sebelum ini. Kita akan meneliti aspek kerangka kawal selianya, pindaan undang-undang berkaitan serta semua proses dan prosedur yang terbabit," katanya.

Sta Maria berkata, mesyuarat pertama dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dijadualkan pada minggu depan dan melibatkan semua pihak dan kementerian berkaitan.

"Kita sudahpun bersetuju untuk kerap berjumpa...ada peraturan dan undang-undang yang perlu dikemaskini agar ia menepati obligasi antarabangsa (TPPA)," katanya.

Baru-baru ini, calon-calon Presiden AS, Donald Trump, Hillary Clinton serta Bernie Sanders dalam kempen mereka mendakwa bahawa perjanjian perdagangan itu akan hanya menjejaskan ekonomi AS.

Namun, Mustapa sebaliknya yakin bahawa Presiden baharu AS yang bakal dilantik secara rasmi pada Januari 2017, akan menyokong TPPA.

Pemilihan Presiden itu akan diadakan pada 8 Nov, 2016.

"Wujud ketidaktentuan mengenai apa yang bakal berlaku di AS dan calon-calon presiden ini hanya mahu mendapatkan sokongan. Namun, kita percaya Kongres AS akan bersetuju dengan TPPA ini," katanya.

Perjanjian perdagangan itu yang isu sensitifnya turut dikecam di Malaysia dan negara lain, ditandatangani oleh menteri perdagangan daripada 12 negara TPP berkaitan pada satu majlis di New Zealand, 4 Februari lepas.

Tiada ulasan: