Khamis, 26 Mei 2016

Lelaki dakwa jual 900,000 nama untuk Deklarasi Rakyat

 
Azharuddin mendakwa 300,000 penandatangan bukan daripada senarainya


Man-claims-Save-Malaysia-bought-1.2-million-signatures-from-him


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tampil mendakwa telah menjual pangkalan data yang mengandungi 900,000 nama dan nombor kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat.

Lelaki itu, Azharuddin Othman @ Abdullah, hari ini dibawa ke depan oleh aktivis PKR yang juga penentang Deklarasi Rakyat, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard).

Azharuddin menunjukkan salinan akuan berkanun yang mendakwa didatangi seorang wanita yang menggunakan nama samaran “Ratu Naga” di Facebook.

Azharuddin mendakwa 300,000 daripada 1.2 juta penandatangan bukan daripada senarainya.

Selainnya adalah nama daripada pangkalan data pilihan raya yang digunakannya dalam kerjanya dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya sebagai pengaturcara komputer separuh masa.

“Pada 27 April 2016, saya dihubungi oleh Ratu Naga untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat, yang disokong oleh Tun Mahathir (Mohamad).

“Beliau sedia maklum bahawa saya mempunyai pangkalan data yang mengandungi maklumat jutaan rakyat Malaysia yang boleh disesuaikan untuk pelbagai tujuan,” katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Lembah Pantai hari ini.

Azharuddin mendakwa wanita itu menawarkan RM5,000 untuk maklumat daripada pangkalan data tersebut dan memberitahu Mahathir tidak mahu namanya dilibatkan dalam projek itu.

Bagaimanapun, Azharuddin berkata dia hanya dibayar RM1,000 bulan lalu. Beliau juga mengatakan mempunyai salinan komunikasi WhatsApp dengan Ratu Naga.

Azharuddin, yang berasal daripada Terengganu, menghentikan pendedahan setakat ini dan membuka ruang kepada Chegubard untuk mengemudi sidang media.

Chegubard berjanji akan meneruskan pendedahan ini tidak lama lagi.

“Kita dedahkan banyak ini dahulu. Kita tunggu respon daripada mereka (penyokong pro-Deklarasi).”

Tiada ulasan: