Rabu, 11 Mei 2016

Deklarasi Rakyat tak mampu jatuhkan Najib

 
Azmi Sharom berkata, Deklarasi Rakyat tiada kesan undang-undang, sekalipun ia diserahkan kepada Majlis Raja-raja. 


azmin-shahromDeklarasi-Rakyat_600


PETALING JAYA: Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur.

Ini kerana kata pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Azmi Sharom yang dipetik China Press, Deklarasi Rakyat tiada kesan undang-undang, sekalipun diserahkan kepada Majlis Raja-raja.

Jelasnya, tidak kira satu juta atau dua juta tandatangan yang dikumpul, Deklarasi Rakyat sekadar satu bentuk atau simbolik kempen tandatangan di atas kertas.

Tegasnya, Perdana Menteri hanya boleh digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen dengan memperoleh persetujuan kebanyakan wakil rakyat.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Deklarasi Rakyat telah mendapat 500,000 tandatangan setakat ini.
Setiausaha Kempen Selamatkan Malaysia, Datuk Kamarudin Jaffar bagaimanapun yakin jumlah tandatangan itu akan bertambah.

Pendedahan Kamarudin itu bercanggah dengan dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Facebook beliau kononnya deklarasi itu sudah mendapat sejuta tandatangan.

Kamarudin juga enggan mengulas jika Deklarasi Rakyat yang menyasarkan sejuta tandatangan itu akan diserahkan kepada mesyuarat Majlis Raja-raja ke-241 hari ini.

Beliau berkata, ada ramai yang menyokong gerakan itu namun mereka bimbang menurunkan tandatangan atau mencatatkan nombor kad pengenalan mereka dalam deklarasi berkenaan.

Selain mendesak Najib meletak jawatan, Deklarasi Rakyat turut menuntut pembaharuan dari segi institusi kerajaan.

Inisiatif yang dilancarkan pada Mac lalu itu turut disertai ahli politik UMNO, parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat madani.

Tiada ulasan: