Isnin, 23 Mei 2016

BN kemuka calon 'pasti menang' pada PRK Sungai Besar

DALIA ISMAIL
 
 
Mat Nadzari Ahmad Dahlan Mat Nadzari Ahmad Dahlan
BN Selangor berkeyakinan tinggi pertikaian menentukan calon dikalangan parti pembangkang di negeri itu tidak memberi sebarang kebimbangan kepada Umno-BN untuk terus mengekalkan kerusi parlimen disandang dalam PRU13 lalu kata, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Beliau berkata BN berkeyakinan tinggi dan bersedia untuk menghadapi PRK di Sungai Besar dengan menampilkan calon 'pasti menang' untuk terus mengekalkan kerusi Parlimen milik BN itu sejak tiga penggal pilihan raya umum diadakan.

" Kita fokus dan berkeyakinan tinggi serta sudah bersedia untuk menghadapi PRK Sungai Besar.

"Kita sudah buat persiapan sebaik mungkin dan mempunyai kesefahaman yang terbaik setakat ini di antara semua parti komponen dalam BN.

" Nampaknya kami sama-sama mengembeling tenaga mengatur gerak kerja masing-masing untuk terus menawan hati pengundi di parlimen Sungai Besar.

"Senario yang berlaku membabitkan calon parti pembangkang tidak akan mengoncang kami dan kami tidak anggap satu 'advantage' apa yang berlaku terhadap pakatan pembangkang untuk meletakkan mana-mana calon.

"Kami terus buat kerja seperti yang telah kami rancangkan." ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Parlimen Sungai Besar mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu di Sungai Panjang dan Sekinchan dengan jumlah 42,836 pengundi. Peratusan pengundi Melayu adalah 67.18 peratus, pengundi Cina 30.68 peratus, pengundi India 1.91 peratus dan 0.23 peratus adalah kaum lain.

Dalam PRU 13 lalu Dun Sungai Panjang disandang Budiman Mohd Zohdi dari BN dan Dun Sekinchan disandang oleh Ng Suee Lim dari DAP.

Mengulas desas-desus antara tujuh nama yang dihantar kepada Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menentukan calon bertanding di Sungai Besar terdiri daripada tiga wakil rakyat di Selangor, beliau menafikannya.

"Sudah tentu kita pilih calon yang sesuai yang kami fikir boleh membawa bukan sahaja aspirasi kerajaan kepada masyarakat , malah  dapat membawa masyarakat untuk melihat apakah ada lagi yang perlu kita buat untuk kepentingan dan manfaat di sana.

"Senarai calon sudah dihantar kepada PM,  terpulang pada pucuk pimpinan dan kita tidak kekeringan calon untuk menghadapi PRK.

"Calon itu seorang yang sesuai dan disenangi masyarakat  serta turut dipersetujui parti komponen untuk diletakkan sebagai calon bagi menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu di Sungai Besar ini.

"Walaupun ada yang kata Umno Selangor menyenaraikan calon terdiri dari wakil rakyat sedia ada, itu pandangan masing-masing. Kita sudah ada nama tersebut dan insyaallah akan diumumkan pada Sabtu ini," ujar Adun Batang Kali ini yang juga menolak dakwaan namanya antara yang tersenarai sebagai calon yang akan bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar kali ini.

Sambungnya lagi," Saya tidak mengatakan 'Ya' dalam hal itu," ujarnya ringkas apabila diasak pertanyaan yang sama beberapa kali.

Diminta mengulas mengenai kemungkinan kumpulan dan penyokong Tun Mahathir akan meletakkan calon sekiranya pakatan gagal meletakkan hanya satu calon menentang BN.

"Dalam hal ini Tun Mahathir dan kumpulannya  boleh merancang dan buat apa saja untuk menjatuhkan BN.  Itu hak beliau selagi tidak salah disisi undang-undang dalam negara.

"Apapun BN sudah bersedia.Tiada masalah dan kita tidak terganggu dengan apa yang mereka ingin lakukan sekiranya benar mereka akan meletakkan calon pilihan mereka untuk menentang BN," ujarnya.

Menurut Mat Nadzari lagi bagi ahli Umno-BN mereka sudah memahami strategi Tun Mahathir dan ujarnya lagi, pengundi tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata dan desakan yang dibuat oleh Tun Mahathir terhadap pengundi di Sungai Besar mahupun di Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

"Mengikut apa yang kita baca dan dengar kita percaya masyarakat dan komponen parti sudah tahu dirinya (Tun Mahathir) yang sebenarnya.

"Kita mempunyai semangat yang kuat dan jentera pilihan raya akan bekerja keras untuk menang dalam dua PRK ini. Kita tidak gentar," ujarnya.

BN Selangor akan mengumumkan calon bertanding untuk PRK Sungai Besar dijangka pada 28 Mei ini yang akan diumumkan oleh Pengerusi Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

Tiada ulasan: