Jumaat, 1 Januari 2016

RTM lakukan pembaharuan siaran TV, tambah masa berita dari Sabah, Sarawak - Salleh

Bernama 
 
RTM lakukan pembaharuan siaran TV, tambah masa berita dari Sabah, Sarawak - Salleh
RTM akan membawakan laporan pelbagai aktiviti atau isu di setiap kawasan serta mengenai keselamatan melibatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Dalam usaha menjadi saluran berita 24 jam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memulakan lembaran baharu 2016 dengan melakukan banyak pembaharuan siaran TV, termasuk menambah masa siaran langsung berita dari Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata bagi inisiatif itu, RTM akan menambah jajaran berita Berita Ehwal Semasa 1 (BES1) pada sebelah pagi dari pukul 7 pagi sehingga 10 pagi dengan Berita Nasional 7 selama sejam diikuti 'Selamat Pagi Malaysia' sehingga 10 pagi.

"Berita Nasional 7 pagi akan menambah masa siaran untuk laporan lintas langsung dari Sabah dan Sarawak kepada 15 minit untuk setiap negeri setiap hari, berbanding hanya 10 minit pada masa kini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai pengisian bahan dari Sabah dan Sarawak, Salleh berkata, penambahan kandungan berita termasuklah laporan aktiviti dan program yang dijalankan di seluruh negeri, laporan susulan peristiwa, isu atau pengumuman kerajaan serta laporan khas.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi, beliau berkata siaran berita akan memberi tumpuan kepada maklumat mengenai pilihan raya serta profil setiap kawasan yang ditandingi.

Bagi Sabah pula, Salleh berkata, RTM akan membawakan laporan pelbagai aktiviti atau isu di setiap kawasan serta mengenai keselamatan melibatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa.

"Berita Nasional 5 yang bersiaran selama sejam dari pukul 5 petang pula membawa laporan langsung dari empat negeri setiap hari yang akan memberi tumpuan kepada isu semasa di negeri berkenaan," katanya.
Empat negeri berkenaan ialah Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan satu negeri lain secara giliran.

Pada 1 Sept tahun lepas, RTM memulakan jajaran berita BES 5-10 bermula 5 petang sehingga 10 malam dengan pengisiannya termasuk siaran berita semasa, berita utama, program berbentuk majalah dan Bicarawara

1 ulasan:

Unknown berkata...

Lebih elok untuk Sabah & Sarawak di wujudkan satu saluran baru,lebihkan masa siaran ceramah agama,berita dunia Dan rancangan2 yg memberi didikan & pengetahuan.