Jumaat, 22 Januari 2016

Penolakan Mukhriz tidak wakili seluruh parti

Suraya Yaacob
Suraya Yaacob


ALOR SETAR - Penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dikatakan sebulat suara daripada keseluruhan Umno Kedah tidak tepat, kerana keputusan tidak melibatkan kepimpinan semua peringkat.

Exco kerajaan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, keputusan yang dibuat pada sidang media tergempar petang Rabu itu melambangkan keputusan yang dicapai pemimpin yang hadir.

“Tidak boleh rumuskan ia keputusan keseluruhan parti, sekiranya ia keputusan sebulat suara, bermakna ia termasuk persetujuan ketua-ketua cawangan,” katanya, yang memaklumkan tidak dijemput pada sidang media diketuai, Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah itu.

Suraya yang ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88, di Istana Anak Bukit, turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz.

“Saya sokong kepimpinan Mukhriz yang diberi mandat sebagai Menteri Besar dan mandat itu belum ditarik balik. Bermakna kita perlu meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan beliau selagi diberikan mandat,” katanya.

Menurut Adun Sungai Tiang itu, pertukaran Menteri Besar bukan bawah kuasa sebahagian pemimpin sebaliknya bidang kuasa Perdana Menteri dan Sultan.

“Saya percaya perkara ini perlukan masa untuk diselesaikan. Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar dan Perdana Menteri, namun keputusan perlu dibuat secara baik agar keamanan negeri dipelihara,” katanya.

Suraya turut menyifatkan tindakan mengadakan sidang media tergempar tanpa pengetahuan Mukhriz selaku Pengerusi Umno Kedah adalah terlalu drastik.

“Saya tidak setuju dengan tindakan itu, itu bukan caranya dalam Umno. Kemungkinan pemimpin terbabit ketika itu dalam keghairahan berdepan kemelut dan diasak beberapa pihak, menyebabkan mereka bertindak begitu,” katanya.

Bagaimana pun, katanya, keputusan itu boleh ditarik balik jika perbincangan dibuat dan mencapai kata sepakat.

Mengulas viral disebar melalui WhatsApp, menyebut beliau antara exco yang akan digugurkan sebaik berlaku pertukaran Menteri Besar selain Datuk Aminuddin Omar, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Datuk Norsabrina Mohd Noor; Suraya berkata, ia adalah dua isu berbeza.

“Apabila ada pihak sebarkan perkara itu, seolah tindakan yang dibuat ada kepentingan lain. Harus diingat, lantikan exco adalah kuasa prerogatif pimpinan, bukan segelintir pemimpin yang mahu siapa dilantik,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Mukhriz.

“Selagi Mukhriz Menteri Besar, kita wajar hormati lantikan itu yang diperkenankan Sultan Kedah.

Sehingga itu, beliau masih terajui negeri dan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya, yang turut tidak mendapat undangan menghadiri sidang media tergempar.

Menurut Adun Jitra itu, setiap perbuatan harus merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, dan tidak wajar bertindak melulu.

“Jika semua pakat tidak puas hati kepada satu pihak dan adakan sidang media menghukum pihak tertentu, itu menunjukkan kita ketepikan perundangan,” katanya.

Exco kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kehadirannya pada sidang media tergempar adalah selaku Ketua Umno Bahagian Merbok untuk menghadiri satu mesyuarat.

“Saya ikut seperti mana yang diminta. Mesyuarat itu tidak dinyatakan agenda,” katanya.

Manakala Mohd Rawi mengambil sikap berdiam diri ketika diminta mengulas.


Tiada ulasan: