Sabtu, 16 Januari 2016

Naik bas percuma di Johor

 
Kerajaan Johor sedang kaji mekanisme perkhidmatan supaya rakyat boleh gunakan tanpa caj, manakala warga asing perlu membayarnya.


Mohamed-Khaled-Nordin_bus_johor_600


JOHOR BHARU: Kerajaan negeri terus mendengar denyut nadi rakyat apabila dijangka melancarkan satu lagi perkhidmatan bas percuma, selewat-lewatnya Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkhidmatan kali ini melibatkan laluan kawasan Iskandar Malaysia, namun butiran terperinci mengenainya masih belum dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan menyedari kepayahan rakyat yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi dan berharap ia mampu meringankan beban.

“Kami sedang mengkaji laluan dan mekanisme yang digunakan kerana bila kami umum untuk melakukan perkara ini, ada pelbagai pandangan mengatakan, sepatutnya orang asing jangan (diberi) percuma.

“Jadi, kami hendak pastikan ia tidak berlaku dan hanya rakyat Johor dan Malaysia sahaja yang menikmati faedah, manakala orang asing perlu membayar sejumlah amaun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2016, di Pasir Gudang, hari ini.

Kerajaan Johor, sebelum ini sudah pun mempunyai perkhidmatan bas percuma namun ia tertakluk kepada kawasan bandar raya Johor Bharu sahaja.

Perkhidmatan bas dengan slogan ‘JB Dihatiku’ itu dilancarkan pada Julai 2014 dan beroperasi daripada 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi laluan Larkin-JB Sentral-Majlis Bandaraya Johor Baharu-Jalan Wong Ah Fook-Larkin dengan kekerapan perkhidmatan setiap 20 minit.

Mengenai bantuan subsidi itu, Mohamed Khaled berkata, program itu julung kali diadakan hasil inisiatif Yayasan Pasir Gudang (YPG) dan UMNO Pasir Gudang dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

Katanya, melalui bantuan itu sebahagian kos bayaran pengangkutan yang ditanggung ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah, akan dibiayai YPG dan UMNO Pasir Gudang.

“Kami tahu bayaran pengangkutan adalah antara perkara rumit yang dihadapi ibu bapa. Jadi, kami menyediakan sejumlah RM180,000 kepada 800 pelajar daripada lebih 500 keluarga bermula Feb hingga Dis ini bagi meringankan beban mereka,” kata Mohamed Khaled yang juga Pengerusi YPG.-BERNAMA

Tiada ulasan: