Sabtu, 16 Januari 2016

Pasukan bola sepak Kedah cari penaja

FREE MALAYSIA TODAY


KFA perlu RM30 juta untuk pembiayaan pasukan berikutan sumber kewangan yang terhad


kedah


ALOR SETAR: Persatuan (KFA) memerlukan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membiayai persatuan itu tahun ini, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz yang juga Presiden KFA berkata, selain untuk pasukan utama bola sepak negeri, ia juga digunakan untuk program kejurulatihan dan pembangunan pemain muda negeri untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata, program pembangunan bola sepak negeri ini juga penting bagi memastikan setiap pemain mendapat pendedahan yang dapat mematangkan mereka dalam sukan bola sepak.

“Setakat ini, kita masih melakukan rundingan dengan anak syarikat kerajaan negeri dan beberapa syarikat korporat untuk menaja KFA. Kita juga mengalu-alukan mereka yang berminat untuk taja KFA tampil untuk berbincang dengan kita.

“Prestasi pemain amat memberangsangkan musim lepas dan kita juga mempunyai ramai penyokong yang sentiasa membanjiri Stadium Darul Aman setiap kali perlawanan berlangsung,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Putra, Kuala Kedah, hari ini.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri yang mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk KFA juga tidak pernah lambat atau gagal untuk melakukan pembayaran gaji pemain mengikut masa yang ditetapkan.

Beliau berkata, dengan peruntukan terhad tahun lepas, pihaknya turut melakukan pelbagai program pembangunan bola sepak seperti menganjurkan Piala Menteri Besar Kedah bagi mencungkil lebih ramai pemain pelapis.

Terdahulu, Mukhriz hadir pada majlis kesyukuran bagi meraikan pelari solo, Nasir Abas, 60, yang melakukan larian sejauh kira-kira 500 kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor, mulai 13 Dis tahun lalu, selepas berakhirnya perlawanan akhir Piala Malaysia.

Nasir tiba di Stadium Darul Aman pada 22 Dis lalu, melakukan larian tersebut sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada skuad Lang Merah yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor.–BERNAMA

Tiada ulasan: